PMNC: “Mereka Kurang Pengalaman Tapi Semangat Mereka Berkobar-Kobar” – AROVxBoyka

Dalam banyak-banyak kejutan di Kejohanan PUBG Mobile Malaysia (PMNC 2019), pastinya banyak mata tertumpu kepada AROV Esports yang hadir dengan line up baru. Tidak kurang yang bertanya malah ada yang mempersoalkan kredibiliti pasukan ini bertanding di pentas kebangsaan.

Bagaimanapun, AROV berjaya membunuh tanggapan itu apabila mereka beraksi cemerlang dan memperoleh tempat kedua dengan 245 mata dan 58 kills. Mereka membawa pulang wang tunai RM20,000.

Kemenangan ini turut melayakkan mereka ke liga Asia Tenggara PMCO Fall Split selama lima minggu di Bangkok, Thailand nanti bersama VIP, Junior Talent, Yoodo Gank (jemputan terus) dan Team Secret.

AROV Esports terdiri daripada line up baru iaitu Mohd Faizzudin Mahmuddin (AROVxFaZu), 18, Muhammad Amir Ashraff Ahmad Zamri (AROVxLunar), 15, Muhammad Aiman Hafizi Ahmad (AROVxAmyPRO), 19 dan Khairunnazri Masli (AROVxBoyka) yang satu-satunya kekal sebagai kapten.

Pemain terdahulu, Muhammad Mukhriz Lutfi Fariq Adlan – AROVxIronPro, Alexis Aw Chee Loong – AROVx小Boy dan Dwi Agus Rian Supardi – AROVxAgusRianz membawa haluan masing-masing.

Kata Boyka, perkara itu bukan mudah kerana pasukannya terdiri daripada pemain muda yang kurang berpengalaman di kejohanan berprestij.

“Ya memang kebanyakan mereka pemain lebih muda. Walaupun mereka tiada pengalaman mengikuti sebarang pertandingan tapi semangat yang sangat membara untuk berjuang dan sanggup belajar jadi lebih baik membuatkan saya tersentuh dan rasa bertanggungjawab untuk memimpin mereka.

“Kami lebih kepada teamwork dan percaya antara satu sama lain dalam pertandingan ini. Walaupun kerap melakukan kesilapan, saya nasihatkan mereka ia bukanlah satu kegagalan tapi belajar untuk tak mengulanginya lagi,” katanya.

Boyka berkata, line up baru ini dibuat berikutan tiada lagi sefahaman dengan barisan pemain yang lalu.

“Kami tidak lagi sehaluan untuk berjuang dengan cara yang sama. Mungkin disebabkan mereka ingin cuba sesuatu yang baru, itu menjadi pilihan bagi masa depan lebih cerah buat mereka.

“Saya tak begitu ‘ambil hati’ dan kami berpisah dengan cara yang baik,” katanya.

Kata Boyka, pencapaian ini satu-satunya pengalaman paling tak dapat dilupakan dalam kariernya sebagai pemain e-sukan.

“Walaupun kehilangan pemain berpengalaman dan dikurniakan pemain yang masih ‘hijau’ pengalaman, saya belajar kunci kemenangan adalah kerjasama yang baik, saling mempercayai dan sesuatu harus dilakukan jika mahu berjaya.

“Walaupun kita hebat macam mana sekalipun, tanpa teamwork kemenangan tak akan tercapai,” katanya.

Boyka juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong setia AROV Esports. Katanya, walaupun berdepan jatuh bangun tapi dia berterima kasih kepada semua yang masih di sisi terutamanya ahli keluarga, pengurus dan peminat yang menaruh kepercayaan sangat tinggi.

“Tanpa anda semua, saya tak akan berada di tahap ini. Insya-Allah AROV Esports akan berjuang sehingga menjadi salah satu team e-sukan terbaik di Malaysia,” katanya mengakhiri perbualan.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+