Review: Kingdom Hearts 3 – Sorakan Padu Dari Perspektif Pemain Baru

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Memang tidak dinafikan Kingdom Hearts III merupakan game yang paling dinanti-nantikan oleh peminat siri ini tak kisahlah dari pemain biasa yang hanya menyentuh Kingdom Hearts 1 & 2 ke pemain kipas-susah-mati yang mengetahui segala kisah secara terperinci.

Latar belakang dan kisah tambahan Kingdom Hearts turut dikenali ramai dengan game yang mempunyai judul ‘unik’ seperti 358/2 Days atau Union X (Cross) mengembangkan lagi kisah francais ini sehinggalah agak susah untuk orang baru macam saya untuk mengenali game berbentuk role-playing game (RPG) yang dibangunkan oleh Square Enix ini.

Baca lanjut: Kingdom Hearts 3: Kisah, Garis Masa, Combat Baru & Segalanya Korang Perlu Tahu

Kingdom Hearts cukup disukai kerana telah menawan hati ramai pemain dengan gabungan dua nama francais hiburan terbesar: Final Fantasy & Disney dalam satu game. Saya tertanya-tanya bagaimana Donald Duck, Goofy dan Sora boleh bersua muka dengan Cloud dan Leon atau macam mana Mickey dinobat sebagai Raja seluruh Kingdom Hearts pula?

Setelah menjadi pemerhati buat sekian lama, akhirnya Kingdom Hearts III memberi peluang untuk saya terokai apa yang ditunggu-tunggu oleh ramai pemain. Jadi, adakah game yang ditunggu-tunggu selama 17 tahun ini berbaloi atau tidak? Jom kita baca review ikhlas di bawah.

*lagu Bohemian Rhapsody dimainkan* “Is this a real life, is this a fantasy?”

Pada permulaannya, saya jadi sangat keliru dengan pelbagai persoalan yang saya tak boleh rungkai. Pembukaan game membawa pemain untuk melihat dua watak dengan rambut terpacak sedang bermain permainan catur sambil menerangkan dua paksi kegelapan dan cahaya (darkness & light) tentang Keyblade War. Selepas itu, korang akan mendengar lagu tema iaitu duet oleh Utada Hikaru dan Skrillex sambil melihat keseluruhan (bukan semualah) kisah menuju ke Kingdom Hearts 3 dalam irama dubstep yang agak… tidak seperti ringkas seperti lagu Simple & Clean nyanyian Utada Hikaru. 

Kemudian, Sora terjerumus masuk ke dalam kegelapan dan berjalan menuju ke tiga cermin gergasi untuk membina personaliti mengikut pilihan hati korang dan terapung antara langit dan bumi untuk belajar sedikit kebolehan baru. Sora sudah hilang hampir keseluruhan kuasanya atas sebab-sebab game sebelum ini. Masalahnya untuk berhadapan dengan organisasi jahat dipanggil sebagai Organisation XIII, Sora harus memperoleh kuasa ‘the power of waking‘. Sejujurnya, saya pun tidak mengerti. Itu pun saya tahu sebab ada ahli sihir beritahu kepada saya. Apa yang saya faham setakat ini, paksi dunia Kingdom Hearts terbahagi kepada 13 kegelapan (sisi jahat) dek kerana angkara Xehanort. Maka, Sora, Donald dan Goofy kenalah mencari dengan 7 cahaya untuk menyelamatkan Kingdom Hearts.

Apa-apa pun, saya masih lagi cuba sedaya upaya untuk memahami intipati plot sebenar Kingdom Hearts III. Setiap kali ahli Organisation XIII mencelah masuk ke dalam skrin, masing-masing ada monolog dan harus memperkenalkan diri sendiri (berkali-kali) sebab Sora sudah lupa semuanya (termasuk saya). Terdapat satu babak apabila korang lawat dunia bertemakan Toy Story dan ada satu orang jahat itu beriya-iya bersyarah tentang perancangan jahat secara terperinci tetapi Woody terus jerit, “Whatever you’re talking about, I don’t care!” Bunyi dialog Kingdom Hearts III juga agak keanak-anakan yang saya faham adalah salah satu trademark kepada siri ini. Tetapi, ya… saya pun setuju, Woody. 

Oh gawsh

Meskipun penceritaan agak rumit, apa yang saya paling suka adalah pengembaraan ke dunia bertemakan Disney. Hubungan antara Kingdom Hearts dengan filem terkenal Disney seperti Tangled dan Frozen membawa pemain lebih dekat dengan watak-watak ikonik Disney ini mengikut hampir keseluruhan plot dengan keunikan tersendiri. Sora dan rakan-rakannya turut sertai perjalanan mereka untuk menangkis penyebaran Heartless dan Nobodies (& Unversed & macam-macam eksperimen pelik dari Xehanort bersama Organisation XIII). Kali ini, Jack Sparrow (oops, Captain Jack Sparrow) dari filem Pirates of the Carribean yang bukan animasi juga sertai pelayaran Kingdom Hearts III. Melihat tiga sekawan jadi lanun mencuit hati saya, malahan Sora, Donald dan Goofy bertukar menjadi ‘raksasa’ ketika melawat Monstropolis dari filem Monsters Inc.

Kepada peminat Disney, game ini pasti menawan hati korang. Pemain seolah-olah hidup bersama karakter-karakter Disney dan berlawan bersama mereka. Dari segi gameplay, ia diperluaskan lagi dengan tambahan dua karakter yang boleh mengikuti sekali. Sebagai contoh, Rapunzel boleh membantu korang untuk berayun ke tempat lain menggunakan rambut saktinya, melihat Elsa membina istana di atas gunung salju dan mengendali kapal lanun bersama Captain Jack Sparrow ala Assassin’s Creed. Sora boleh menyeru Wreck-It-Ralph atau Ariel (The Little Mermaid) untuk melawan Heartless bersama-sama. Rantaian serangan berjaya juga membuka laluan serangan baru iaitu berdasarkan permainan teman tema Disneyland seperti Mad Hatter Cup Tea, Magic Carousel, Pirate Ship dan banyak lagi!

Bak kata orang putih – “This is my cup of tea”

Dunia Kingdom Hearts ini berselerak dalam laluan cakerawala yang boleh diterokai menggunakan Gummi Ship. Korang boleh mengubahsuai Gummi Ship ini dari segi senjata, perisai dan tambahan senjata mini ikut citarasa masing-masing. Setiap kali perjalanan ke dunia Disney berakhir, korang dikurniakan dengan Keyblade yang mempunyai kuasa tersendiri dalam combat. Seingat saya, ada 15 Keyblade korang boleh kumpul terbahagi dari Strength, Magic ataupun seimbang (Balanced). Oh, semasa korang mengembara dalam setiap dunia Disney, pastikan korang gunakan Gummiphone untuk cari tanda Mickey Mouse yang tersembunyi.

Setelah meluangkan masa 30 jam untuk menghabiskan game ini, saya tidak pasti untuk mengesyorkan Kingdom Hearts III kepada pemain baru. Walaupun mempunyai penceritaan kompleks dan bersangkut-paut antara satu sama lain, cara gameplay adalah sangat menyeronokkan dan mudah difahami berbanding game JRPG (RPG dari negara Jepun) yang lain. Sepanjang perjalanan Kingdom Hearts III penuh dengan watak popular Disney, saya tidak berjumpa dengan watak Final Fantasy seperti yang sering ditonjolkan dalam game sebelum ini.

Carilah Hidden Mickey!

Mungkin saya perlu melakukan kajiselidik dengan lebih mendalam untuk faham segala intipati kisah Kingdom Hearts ini. Namun, tinjauan saya ke media sosial mendapati mereka yang mengikuti Kingdom Hearts 1 & 2 turut rasa keliru dengan kemunculan karakter baru. Saya rekomenkan Kingdom Hearts III kepada mereka suka RPG dengan naratif padu. Kalau korang tak suka cerita panjang-panjang di mana korang takkan pegang controller dalam masa satu jam lebih dan suka gameplay lebih pantas, maka korang tak perlu main Kingdom Hearts III dan pergi main Resident Evil 2.

Epilog Kingdom Hearts III sudah boleh ditonton sekarang dan boleh dimainkan di PS4 dan Xbox One. Ikuti MyGameOn di Facebook dan YouTube untuk review, berita gaming dan esports semasa.

Terima kasih PlayStation Asia atas kod permainan.

Daftar sekarang untuk kejohanan e-sukan kampus terbesar di Malaysia! Ada game Mobile Legends, PES 2019 dan Dota 2, khas untuk pelajar universiti sahaja! 

KLIK LINK INI UNTUK MENDAFTAR.

Info lanjut, layari laman web ini dan Facebook kami.

RELATED NEWS

+