Sekilas pandang, Left Alive kelihatan seperti game berbentuk stealth role-playing game (RPG) menarik yang membawa penampilan robot atau ‘mecha’ gergasi, permainan ‘stealth’ menyelusuri kancah peperangan dan karakter bersama seni keseluruhan visual juga dihasilkan oleh pelukis dan pengarah seni, Yoji Shinkawa dari siri Metal Gear.
Left Alive dibangunkan oleh pembangun dari Jepun, Ilinx dan diterbitkan oleh Square Enix. Untuk pengetahuan korang, Left Alive ini tergolong dalam francais Front Mission yang terkenal dengan gaya aksi stealth dan kemunculan robot gergasi dipanggil sebagai Wanzer.
Meskipun game ini diarahkan oleh Toshifumi Nabeshima terkenal dengan Armored Core, Left Alive tidak mencapai jangkaan hebat seperti yang diharap-harapkan kerana kehadiran musuh/AI yang berkecamuk, lakonan suara kekok dan kualiti grafik seperti dikeluarkan di PS3.
Dalam Left Alive, korang akan menongkah peperangan antara dua negara fiksyen di benua Eropah iaitu Ruthenia dan Garmonia dalam perspektif antara 3 karakter dengan nilai moral berbeza sepanjang 14 bab. Objektif utama Left Alive adalah korang kena terus bertahan hidup dalam konflik peperangan yang menghimpit orang biasa dengan konspirasi politik.
Pada permulaan game, korang bermain sebagai Mikhail Shuvalov, seorang jurupandu Wanzer iaitu merupakan satu-satunya askar Ruthenia yang terselamat dari keseluruhan platun. Kemudian, korang diperkenalkan dengan bekas askar Garmonia bertukar menjadi polis bandar Nova Slava bertempat di Ruthenia bernama Olga. Akhir sekali, pemain akan menyambung jalan cerita melalui perspektif Leonid Osterman, seorang bekas pejuang yang telah dituduh atas kesalahan membunuh.
Ketiga-tiga karakter ini mempunyai agenda mereka tersendiri dan terdapat suatu ketika dalam game ini, mereka akan bertembung antara satu sama lain. Penampilan karakter yang dihasilkan oleh Shinkawa semestinya membawa sedikit aura Metal Gear Solid tetapi sayangnya, interaksi dialog kesemua karakter dalam Left Alive amat menghampakan.
Lakonan suara suam-suam kuku digabung dengan animasi lenggok muka acuh tak acuh membuatkan saya menangis melihat dua keping kayu cuba berinteraksi. Game ini menyelitkan roda dialog yang pemain boleh pilih seperti Anthem atau mana-mana game RPG tetapi karakter korang tidak bersuara apabila korang pilih dialog berkenaan. Agak pelik di situ.
Arahan babak sinematik dan dilengkapkan dengan runut latar belakang Left Alive juga boleh tahan. Apa yang amat menjengkelkan adalah grafik keseluruhan game ini dari persekitaran Nova Slava sehinggalah ke butiran terperinci seperti negara Ruthenia dan robot besar Wanzer sangat ketinggalan zaman seakan game ini dihasilkan untuk PS3 dan disimpan dalam peti kunci selama 10 tahun sebelum dilancarkan ke PS4 dan PC.
Dari segi gameplay dan combat pula, korang akan mengambil masa berjam-jam untuk selesaikan satu bab. Walaupun game ini dilariskan sebagai game berbentuk stealth, dukacita saya umumkan korang tidak boleh serang hendap dari belakang langsung walaupun korang ada batang besi atau batang paip seperti yang dipamerkan dalam kesemua game stealth dari Metal Gear Solid sehinggalah ke Assassin’s Creed.
Bukan sahaja korang rasa sakit hati dengar bingit suara “CAUTION: The enemy is approaching” sepanjang masa ketika dekat dengan musuh, korang akan terseksa dengan artificial intelligence (AI) askar-askar musuh yang gila kerana mereka boleh kesan pemain meskipun korang bersembunyi belakang kereta kebal gergasi dari jarak sebatu jauh.
Musuh ini juga menelan semua peluru yang korang muntahkan walaupun korang membidik tepat ke arah kepala askar. Kalau korang bersembunyi di belakang pertahanan, sasaran korang jadi kacau-bilau secara tiba-tiba. Langkah alternatif lain adalah untuk kraf pelbagai jenis bom dan perangkap untuk mengalahkan musuh-musuh yang sungguh agresif. Korang akan juga menghabiskan segala peluru dan bahan untuk kraf bom korang cari dalam hiruk-pikuk dek kerana AI gila.
Tarikan utama Left Alive iaitu kebolehan untuk mengendalikan Wanzer yang membangkitkan sedikit selera saya untuk bermain game ini. Namun, combat Wanzer sangat kompleks kerana korang perlu pantau nyawa dan kendalian bahagian senjata Wanzer diletakkan di lengan dan kaki robot yang tidak dipamerkan ke skrin secara terus bahkan korang hanya boleh lihat melalui skrin menu.
Selain itu, korang juga tidak tahu jika musuh Wanzer itu terus lemah ataupun tidak kerana tiada paparan nyawa (meter HP) di atas musuh Wanzer. Sama seperti AI askar, AI Wanzer juga tidak dijangka kerana kadang-kadang, amat liat untuk dikalahkan dan kadang-kala senang dimusnahkan.
Sudahlah combat perit sekali, game ini tambah lagi penderitaan dengan ketiadaan auto-save dan tempat save secara manual diletakkan terlalu sedikit. Bayangkanlah, saya mati katak semata-mata AI naik gila dan kena ulang kembali permainan selama 30 minit lepas tak kisahlah korang dalam peringkat difficulty di mana-mana pun. Ini lagi teruk dari bermain Sekiro: Shadows Die Twice dan ini adalah sebab saya mengambil masa sebulan untuk habiskan game ini.
Akhir kata, Left Alive sebenarnya ada banyak potensi dan memperkenalkan idea baru seperti melihat kesan haba yang terpancar dari pemain lain di peta tetapi ia dihalang oleh AI tak masuk akal, combat susah, grafik buruk dan kekurangan tempat save.
Kepada yang memang suka jalan cerita siri Front Mission, Left Alive ini menjanjikan penceritaan penuh konflik dan misteri. Bagi mereka yang mengharapkan Left Alive menjadi Metal Gear Solid seterusnya, berhentilah berharap.
Left Alive telah dikeluarkan pada 5 Mac 2019 di PC dan PS4.
Terima kasih PlayStation Asia atas kod permainan.