[Review] Star Wars: Squadrons – cita-cita menjadi juruterbang Star Wars tercapai

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Kod ulasan disediakan oleh Electronic Arts (EA). Ulasan dilakukan di PC.

Sejak hak pembuatan permainan video francais Star Wars dipindah ke hak milik EA, banyak peminat Star Wars menyuarakan pendapat negatif. Hal ini demikian kerana EA banyak melakukan perkara yang menjadikan permainan kurang menyeronokkan seperti kekurangan kandungan dalam Star Wars Battlefront dan meletakkan banyak mikro-transaksi dalam Star Wars Battlefront II.

Pelancaran Star Wars Jedi: Fallen Order dan pengurangan mikro-transaksi Star Wars Battlefront II telah memperbaiki imej EA sedikit. Kini mereka telah melancarkan satu lagi permainan Star Wars baharu iaitu Star Wars: Squadrons. Persoalannya, adakah ia juga satu permainan yang bagus?

Star Wars: Squadrons ialah sebuah permainan pertempuran angkasa lepas di mana para pemain akan menjadi juruterbang pesawat pejuang angkasa yang berpihak dengan Galactic Empire atau New Republic. Seperti kebanyakan permainan Star Wars yang dikeluarkan EA, ia mempunyai mod single player dan juga multi-pemain dalam talian.

Satu tarikan utama permainan ini ialah ia menyokong permainan menggunakan headset VR di PC dan PS4. Malangnya, penulis tidak memiliki headset VR. Oleh itu, ulasan ditulis berdasarkan permainan cara biasa dengan penggunaan papan kekunci dan tetikus.

 

Seronok menyelamatkan (dan menakluk) galaksi

Sebelum memulakan permainan multi-pemain, anda sepatutnya menghabiskan dahulu mod single player campaign. Jangan risau, ia hanya mengambil masa sekitar tujuh hingga sembilan jam untuk dihabiskan dan terdapat beberapa misi yang seronok dimain.

Jalan cerita yang ditonjolkan dalam single player campaign sedikit membosankan kerana ia tidak mempunyai plot twist yang mengejutkan. Ia bermula dengan pembelotan seorang juruterbang Galactic Empire yang mahu membetulkan kesilapannya semasa berkhidmat dengan rejim kejam itu.

Penulis menyukai aspek wujudnya dua perspektif berbeza di mana terdapat waktu di mana kita akan bermain sebagai juruterbang Galactic Empire dan ada waktu lain di mana kita bermain sebagai juruterbang New Republic. Selain daripada menjadikan jalan cerita lebih menarik, ia juga memberikan pemain peluang untuk memahami sikap askar-askar kedua-dua pihak.

Rakan-rakan penulis yang merupakan peminat Star Wars pernah menyatakan bahawa mereka tidak berani mencuba permainan ini kerana mereka tidak pernah main permainan pertempuran udara dan simulasi penerbangan lain seperti Ace Combat dan Microsoft Flight Simulator.

Sebenarnya, penulis sendiri pun tidak pernah main permainan-permainan sebegitu tetapi Star Wars: Squadrons sangat mudah untuk dipelajari. Ia mempunyai empat tahap kesusahan dan tahap yang paling senang memberikan peluang kepada semua orang untuk mencuba permainan ini. Satu ciri yang bagus!

 

Memang rasa seperti juruterbang pesawat pejuang di angkasa lepas

Kawalan menggunakan papan kekunci dan tetikus dalam Star Wars: Squadrons tidak begitu rumit. Tetikus digunakan untuk mengubah arah pergerakan kapal dan untuk menembak. Papan kekunci digunakan untuk mengawal kelajuan kapal, pembahagian tenaga, memusingkan kapal, dan berkomunikasi dengan juruterbang-juruterbang  lain.

Pada mulanya, penulis tidak begitu handal dalam aspek-aspek seperti pembahagian tenaga dan mengawal kelajuan kapal tetapi penulis dapat membiasakan diri dengan kedua-duanya selepas beberapa jam bermain. Ini memang bukan satu permainan yang mudah tetapi apabila anda memahami setiap sistem di dalamnya, anda akan menghargai kebebasan yang diberikan kepada pemain untuk menetapkan cara permainan tersendiri.

Pembahagian tenaga memainkan peranan yang penting dalam setiap pertempuran. Anda sentiasa boleh memilih sama ada untuk menggunakan pembahagian tenaga yang seimbang untuk semua sistem atau menyalurkan semua tenaga ke satu sistem sahaja seperti enjin, senjata, atau perisai.

Penulis yakin pengalaman bermain Star Wars: Squadron menggunakan headset VR semestinya lebih menyeronokkan. Cockpit setiap kapal angkasa direka dengan sangat terperinci dan nampak sangat realistik. Anda juga akan dapat menikmati keseronokan pertempuran pada tahap yang lebih mengasyikkan.

 

Mod multi-pemain dalam talian masih perlu diperkukuhkan

Satu lagi tarikan utama Star Wars: Squadrons ialah ia memberikan peluang kepada anda dan rakan-rakan anda bekerjasama dalam pasukan pesawat terbang dalam galaksi Star Wars. Setakat ini, hanya terdapat dua mod permainan multi-pemain iaitu Dogfight dan Fleetbattles.

Kedua-dua mod permainan di atas menggunakan format 5 lawan 5. Penulis rasa sedikit kecewa dengan perkara ini kerana penulis berharap mereka akan membenarkan lebih ramai pemain untuk bertempur sekaligus.

Mod permainan Dogfight ibarat mod Deathmatch dalam banyak permainan lain. Pasukan yang menewaskan lebih ramai pihak musuh akan menang. Dalam mod Fleetbattles pula, anda perlu bekerjasama dengan pasukan-pasukan anda untuk menyelesaikan objektif dan mod ini mempunyai beberapa peringkat.

Penulis lebih menyukai mod Fleetbattles kerana ia juga membenarkan anda untuk bertempur dengan bot. Ini membolehkan anda untuk melakukan misi-misi co-op dengan rakan-rakan anda dan pengalaman sebegini memang mewujudkan suasana yang mirip dengan filem-filem Star Wars.

Semasa bermain mod multi-pemain dalam talian, terdapat dua isu besar yang ditemui oleh penulis. Pertama, waktu muatan kadangkala mengambil masa yang agak lama. Terdapat beberapa perlawanan yang mengambil masa sekitar 10 minit untuk bermula. Selain itu, permainan ini juga nampaknya menghadapi masalah sambungan atau pelayan kerana penulis pernah secara tiba-tiba dikeluarkan dari perlawanan tetapi perkara ini hanya berlaku sekitar dua atau tiga kali sahaja.

 

Inilah kualiti permainan video Star Wars yang diminta oleh peminat selama ini

Star Wars: Squadrons menggunakan Frostbite, enjin yang sama yang digunakan oleh banyak permainan EA lain seperti Star Wars Battlefront II dan Battlefield V. Tidak dapat dinafikan bahawa kualiti grafik dalam permainan ini adalah sangat hebat.

Selain daripada rekaan cockpit yang realistik, penampilan setiap kapal angkasa popular Star Wars seperti Star Destroyer, X-Wing, TIE Fighter juga nampak hebat. Terdapat satu misi di mana pemain akan terbang di sebelah sebuah Star Destroyer dan anda boleh nampak hampir setiap satu butiran kecil kapal tersebut.

Dalam situasi pertempuran, pemain akan diserang dengan pelbagai ciri-ciri grafik seperti cahaya laser, cahaya dari bintang, retakan kaca cockpit, lampu kecemasan pesawat, dan macam-macam lagi. Kesemuanya dipertunjukkan dengan cara yang cantik dan realistik.

Penulis juga memberikan pujian tinggi kepada kualiti audio permainan ini. Setiap tembakan laser, letupan kapal, dan bunyi pesawat lain yang terbang pantas dari arah berlawanan mengeluarkan bunyi yang memang sama dengan bunyi-bunyi yang terdapat dalam filem-filem Star Wars.

Dedikasi pihak pembangun untuk membawakan butiran-butiran tulen sebegini menjadikan Star Wars: Squadrons satu permainan yang wajib dicuba oleh semua peminat Star Wars.

 

Teruskan memperbaiki diri, EA

Perubahan Star Wars Battlefront II merupakan permulaan EA mendapatkan semula kepercayaan peminat permainan video Star Wars. Star Wars Jedi: Fallen Order meyakinkan peminat Star Wars tetap menghargai permainan berkualiti. Kini Star Wars Squadrons membuktikan EA sedang menuju ke arah yang lebih baik.

Kualiti tinggi yang dipertunjukkan dalam permainan ini memang layak dipuji dan ia harus dijadikan contoh yang bagus kepada pembangun-pembangun di luar sana yang mahu membuat permainan video pertempuran udara.

Cuma penulis berharap pihak pembangun akan terus memperbaiki masalah-masalah mod multi-pemain dan memperkenalkan lebih banyak kandungan untuk dinikmati oleh para pemain.

Star Wars: Squadrons kini telah dilancarkan di PC, PS4, dan Xbox One.

 

Apa yang seronok:

  • Simulasi penerbangan dan pertempuran Star Wars yang berkualiti tinggi
  • Rekaan audio dan grafik bertaraf lima bintang
  • Permainan yang sukar tetapi sangat memuaskan apabila dipelajari sepenuhnya

Apa yang kurang:

  • Isu-isu teknikal mod multi-pemain
  • Kurang mod permainan multi-pemain
  • Jalan cerita single player campaign yang sedikit membosankan

RELATED NEWS

+