Spider-Man Sah Cerai Daripada Marvel, Kata Bos Sony

Sejak kebelakangan ini, peminat masih lagi menaruh harapan supaya Spider-Man masih lagi berada dalam filem-filem Marvel’s Cinematic Universe (MCU). Sayang sekali, ini tidak akan terjadi.

Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Sony Pictures, Tony Vinciquerra memberitahu kepada Variety bahawa “pintu itu telah ditutup.”

 

CEO Sony Pictures ini sedar akan tindak balas agresif peminat seperti dilaporkan oleh media dan ianya “menggoncang” Sony untuk beberapa minggu tetapi beliau menjelaskan hubungan antara Sony dan Marvel/Disney baik-baik sahaja meskipun mereka tidak mencapai kata sepakat untuk menghasilkan lagi filem Spider-Man.

Bila ditanyakan atas sebab kenapa Sony mengundur diri, Tony menerangkan bahawa presiden Marvel Studios, Kevin Feige “tidak menang tangan” dengan pelbagai karakter seperti X-Men dan Fantastic Four iaitu hasil daripada pembelian 21st Century Fox oleh Disney untuk dimasukkan ke dalam MCU sebagai filem atau sebagainya.

Kevin Feige di tengah

Oleh itu, ini tidak meninggalkan banyak ruang untuk Kevin benar-benar mengerjakan Spider-Man iaitu karakter yang mana Sony mempunyai hak cipta sepenuhnya.

“Kami memang cukup seronok bekerjasama dengan Kevin untuk filem-filem Spider-Man. Kami telah cuba sedaya upaya untuk capai kata sepakat. Kami sangat menghormati pihak Marvel tetapi bukan sahaja Kevin, kami juga mempunyai orang yang hebat dalam studio kami,” kata Tony.

Kepulangan Spider-Man ke tangan Sony memberi peluang untuk cipta satu ‘universe’ berkenaan Spider-Man. Setakat ini, Sony sedang menghasilkan sekuel filem Venom dibintangi oleh Tom Hardy, filem Morbius dibintangi oleh Jared Leto dan ‘5 atau 6’ rancangan TV berlatarbelakangkan dunia Spider-Man.

Bos Sony Pictures juga mengacah Spider-Man lakonan Tom Holland mungkin akan muncul dalam filem-filem dan beberapa siri TV akan datang.

Walaubagaimanapun, Tony tidak menidakkan kemungkinan Spider-Man akan kembali bekerjasama dengan Marvel Studios tetapi ini untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, bintang Spider-Man, Tom Holland juga menyatakan hasrat untuk kembali bekerja bersama Sony dan Marvel tetapi beliau berkata kepada GQ (melalui IGN), “warisan Spider-Man ini jatuh ke atas tangan Sony.” 

Apa-apa pun, kami berharap perpisahan Spider-Man daripada Marvel/Disney bukan buat untuk selama-lamanya.

Sumber: IGN

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+