Suspek kes ‘scam’ PS5 ditahan untuk siasatan

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kes penipuan jualan konsol Sony PlayStation 5 yang membabitkan wang tunai berjumlah melebihi RM1.5 juta ringgit dan lebih 200 mangsa. Kali terakhir kami mendapat kemas kini adalah apabila komuniti menyerbu kawasan perumahan suspek selepas mendapati maklumat peribadinya. Sewaktu itu, polis juga berada di lokasi kejadian untuk menjamin keselamatan bapa suspek.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din,  suspek sudah ditahan dan dibawa untuk bantuan siasatan kes berkenaan.

Stok PS5 yang diserahkan oleh suspek kepada pembeli sebelum lelaki terbabit didakwa gagal memenuhi tempahan. Imej: Kosmo!

“Saya sahkan, suspek seorang lelaki berusia 23 tahun berjaya ditangkap polis semalam (kelmarin) di Pulau Pinang,” kata beliau kepada Kosmo! hari ini.

Ia dilaporkan bahawa suspek itu ditahan selepas hadir ke balai polis untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town kira-kira pukul 12 tengahari semalam.

Setakat ini, suspek tidak dikenakan apa-apa hukuman tetapi hanya direman selama dua hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Kesiksaan iaitu menipu. Selain itu, barang peribadi suspek juga dirampas seperti telefon bimbit, kad sim dan kad bank untuk siasatan dengan lebih mendalam. 

Polis juga mengesahkan bahawa mereka menerima lebih 26 laporan berkenaan kes penipuan ini. Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Sumber rujukan: Kosmo!, PDRM

RELATED NEWS

+