Bahang hari pertama minggu kedua Kejohanan Majors MCPS musim keempat masih terasa apabila aksi berbalas emote pada hujung pusingan permainan dilakukan oleh beberapa pemain.
Antara yang mencuri tumpuan adalah pemain AV Radicals dari Filipina, AV.Winee bertindak spontan dengan melakukan emote FFWC Throne kepada pemain senegara iaitu BH.Marc di kawasan Ski Lodge.
Tindakan itu seolah-olah ingin memberi amaran kepada pasukan Bloody Head walaupun kawasan itu adalah kawasan mendarat yang sering menjadi pilihan pasukan itu.
Di samping itu, aksi itu mendapat perhatian pengulas, Fawwaz Sehaimi (Soultann) dan Radzi Rahman (Ikuto) yang menganggap hal ini sesuatu yang menghiburkan dalam Kejohanan Majors.
Peminat tempatan juga terlihat saling memberikan komen dan pendapat masing-masing yang bercampur baur berkaitan situasi itu.
Sementara itu, salah seorang pemain pasukan Expand, Xroyy juga sempat melakukan aksi emote Pirate’s Flag kepada pemain Orange Esports yang sudah dijatuhkan dalam pertempuran satu melawan satu.
Bagi komuniti Free Fire khususnya MCPS, aksi emote ini sudah menjadi kebiasaan kerana dianggap sebagai mencabar lawan supaya lebih berhati-hati ketika bertemu dan pada masa yang sama menjadi suatu hiburan dalam permainan.
Mengimbau kembali kejadian yang sama pernah terjadi, iaitu pada Siri Cabaran Free Fire Malaysia (FFCs) musim pertama ketika pemain Argon My, Chill yang cuba memberi amaran kepada Geek Fam dengan menggunakan emote Pirate’s Flag.