Baru-baru ini penulis berjaya merebut peluang menemubual Team Path yang kini layak ke VCT MY/SG VALORANT.
Perkara ini bukan mudah untuk dicapai kerana hanya yang terbaik saja layak ke peringkat ini.
Pemain-pemain Team Path terdiri daripada:
Kye (Kapten & Controller/Flex )
Sage (Support Initiator/Second Shotcaller)
Wrath (Flash Initiator)
Ayman (Duelist)
Boogie (Sentinel/Second Duelist)
Idzni “Click” Rosdi (Jurulatih)
Megat Danish (Pengurus)
Mereka juga adalah satu-satunya pasukan Malaysia yang layak ke VCT melalui Kelayakan Terbuka.
WE MADE IT TO VCT MYSG SPLIT 1 🔥🔥🔥🏆🏆🏆🏆#OnePath #VALORANT #VCTMYSG pic.twitter.com/mQ2NmouDRb
— Team Path (@teampath_gg) January 8, 2023
1. Bagaimana perasaan menjadi antara pasukan Malaysia yang layak ke VCTMY/SG untuk VALORANT?
Kye: Kami sudah semestinya sangat teruja dengan perkara ini. Kami sudah cuba berusaha yang terbaik walaupun tidak menyangka sebab main bersama (berlatih) pun tak sampai dua minggu.
Pada masa sama, kami juga realistik dengan kedudukan kami sekarang. Kami tahu kami adalah pasukan yang baru hendak belajar.
Fokus untuk belajar juga menjadi fokus utama kami untuk menjadi lebih baik.
2. Apa persediaan Team Path untuk VCT nanti?
Sage: Pada waktu siang, beberapa antara kami masih lagi belajar di universiti, namun malam pula adalah pemain profesional e-sukan VALORANT.
Semua latihan kami adalah pada waktu malam bermula jam 8 malam sehingga 11 malam.
Jadual kami juga adalah sangat fleksibel. Lawan scrim mengikut region mana yang kami akan lawan seperti Filipina, Thailand dan kawasan lain. Kami akan cuba elakkan Malaysia dan Singapura.
Megat (Pengurus Pasukan) : Pada mulanya agak susah untuk kami berlawan dengan pasukan Tier 1.
Selepas melihat prestasi kami ketika Kelayakan Terbuka, banyak pasukan lain nampak kita lebih relevan dan kini lebih mudah untuk kami dapatkan pasukan untuk lawan.
Sejak itu, pasukan kami lebih dikenali terutamanya di media sosial.
Kini kami sudah layak ke VCT dan lebih banyak pasukan-pasukan lain yang lebih dikenali mahu scrim dengan kami.
Tambahan lagi, kami juga pernah menyertai kem latihan bersama TRX selama seminggu di Korea Selatan.
3. Apa pelan jangka panjang untuk Team Path setakat ini?
Kye: Kami bukan sahaja mahu untuk layak ke VCT, tetapi ke APAC juga. Dari situ, apabila kami sudah capai peringkat tinggi sudah semestinya kami akan cuba untuk pergi lebih jauh.
Sebagai satu-satu pasukan yang layak dari Kelayakan Terbuka di Malaysia, ramai mula nampak pasukan kami.
Pada masa sama, kami mahu menjadi pasukan teratas di Malaysia sambil membawa nama negara. Jadi apabila orang tanya, pasukan Malaysia VALORANT siapa? Team Path.
Kami mahu reputasi kami dikenali sebagai kubu kuat untuk VALORANT di Malaysia. Akhirnya, kami mahu orang kenali Team Path sebagai pasukan yang mudah untuk didekati oleh komuniti di Malaysia.
Kami mahu dekatkan jurang supaya orang rasa dekat dengan kami dan oleh itu kami banyak membuat posting yang mesra orang ramai.
4. Team Path cari pemain yang bagaimana dan dari mana?
Megat: Pengalaman saya dalam e-sukan, kita sudah ada ekosistem yang baik untuk MLBB, PUBG dan FIFA. Saya rasa VALORANT entah bagaimana tidak banyak organisasi yang mahu masuk. Setakat ini hanya Todak sahaja.
Dari perspektif saya, saya sedikit kecewa, kita mempunyai ramai pemain dan VALORANT sangat besar di Malaysia tetapi tidak ramai organisasi yang mahu berkecimpung dalam permainan ini.
Ramai pemain-pemain berbakat, sebagai contoh d4v41 salah satunya.
Ayman: Saya tahu mengenai Team Path melalui watch party yang dibuat oleh Team Path. Saya juga cuba mendekati Team Path dan menunjukkan mereka klip dan diberi peluang untuk percubaan. Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai pengalaman bermain secara kompetitif.
Wrath: Bagi saya, Lim, dan Boogie kami sudah lama bermain bersama selama enam bulan. Pasukan kami sudah diambang pembubaran disebabkan dua pemain meninggalkan Team Path.
Megat: Kami cuba juga memilih pemain-pemain baru. Kami juga mahu pemain yang bukan sahaja hebat bermain tetapi juga mempunyai personaliti yang baik dan tiada ego.
5. Pasukan mana yang rasa susah atau menjadi rival untuk Team Path?
Kye: Sebenarnya ada dua pasukan yang menjadi pesaing kami.
Dari segi pesaing, NEXGA adalah yang terdekat. Kami sangat rapat dengan mereka. Kenal semua pemain mereka dan banyak bersama-sama dalam latihan dan kami juga pernah bersemuka di rumah Team Path juga.
6. Kenapa VALORANT? Ada latarbelakang dari FPS lain?
Wrath: Saya bermula dengan CS:GO. Pernah juga bermain untuk pasukan Antrax, One Percent dan Orange Esports. Antara pencapaian terbaik saya adalah memenangi Malaysia Cybergames.
Ayman: Saya tiada pengalaman kompetitif sebelum VALORANT dan saya bermula dengan Sudden Attack pada tahun 2008/2009.
Boogie: Tiada pengalaman profesional tetapi pernah cuba untuk memasuki CS:GO namun disebabkan umur ketika itu ia menjadi penghalang.
Kye: Saya pula tidak pernah mempunyai apa-apa pengalaman FPS sebelum ini, sebelum ini saya pernah bermain Dota untuk 11 tahun dan pernah hampir cuba untuk bermain secara profesional di Dota. Pada mulanya saya hanya Iron III kini berjaya menjadi pemain profesional VALORANT.
Sage: Saya bermula dengan CS:GO dan pernah ditawarkan kontrak tetapi ketika itu ada SPM dan saya memutuskan untuk tidak bermain apa-apa permainan video selama setahun.
7. Pendapat mengenai VALORANT di Malaysia?
Megat: Semua ini mengikut penerimaan dan pasaran Valorant mengikut negera juga. Filipina dan Thailand sangat besar penerimaan VALORANT dan ramai pasukan.
Dalam MY/SG cuma ada lapan pasukan sahaja tetapi sebenarnya banyak lagi pasukan lain. Semua ini terletak kepada pembangun.
Ekosistem juga perlukan banyak sokongan orang ramai lagi. Malah Tashbunny sendiri pernah menjadi pengulas untuk VCT/APAC.
Kita perlukan lebih daripada itu bukan sahaja dari pemain kasual, termasuklah pempengaruh untuk membantu ekosistem VALORANT.
Negara lain pun banyak acara dan Malaysia memerlukan banyak organisasi untuk memberi fokus kepada VALORANT.
Sage: Bagi saya, kami mahukan lebih banyak peluang untuk pasukan di Malaysia. Mungkin perlu ada dulu pasukan yang berjaya di peringkat antarabangsa.
Jika ada pasukan yang berjaya lagi ke VCT, mungkin lebih ramai lagi pelabur akan cuba menceburi VALORANT di Malaysia.
Mungkin selepas ini Team Path bakal menjadi kuda hitam untuk VCT MY/SG nanti.
Anda boleh juga melayari laman sosial mereka di Twitter, Instagram, Youtube dan TikTok.