Wajah Peter Parker diubah dalam Marvel’s Spider-Man Remastered untuk PS5

Pandangan pertama untuk permainan Marvel’s Spider-Man Remastered yang bakal dilancarkan untuk PlayStation 5 (PS5) kini telah dipertunjukkan melalui dua trailer baharu. Satu trailer menunjukkan permainan dengan kualiti grafik baharu dan satu lagi pula menonjolkan wajah baharu watak utama Peter Parker.

Menurut Insomniac Games, wajah Peter Parker diubah supaya lakonannya menjadi lebih mirip dengan gerakan mulut pelakon suaranya iaitu Yuri Lowenthal. Dalam versi asal, wajah Peter Parker dibentuk mengikut pelakon John Bubniak. Wajah baharu kali ini dibentuk mengikut pelakon lain iaitu Ben Jordan.

Selain daripada perubahan ini, Marvel’s Spider-Man Remastered juga akan mempunyai beberapa ciri-ciri baharu berbanding versi asal yang dilancarkan untuk PlayStation 4 (PS4) pada tahun 2018 termasuk teknologi pencahayaan ray-tracing dan bayang-bayang ambien.

Sama seperti Marvel’s Spider-Man: Miles Morales, permainan ini juga akan mempunyai tetapan Performance Mode yang membenarkan permainan pada resolusi 4K dan kadar bingkai 60FPS. Insomniac Games juga menyatakan kekuatan spesifikasi PS5 membenarkan waktu muatan dikurangkan hingga menjadi hampir serta merta.

Satu kostum baharu untuk Spider-Man akan dimasukkan dalam versi remaster ini iaitu kostum Amazing Spider-Man yang dipakai oleh pelakon Andrew Garfield dalam siri filem The Amazing Spider-Man.

Untuk membeli Marvel’s Spider-Man Remastered, anda perlu membeli Spider-Man: Miles Morales terlebih dahulu di konsol PlayStation 5. Jika anda beli Spider-Man: Miles Morales Ultimate Edition, ia akan datang bersama sebuah kod baucar untuk muat turun Marvel’s Spider-Man Remastered.

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales dan Marvel’s Spider-Man Remastered akan dilancarkan pada 12 November ini. Untuk pemilik PS4 yang sudah selesai bermain Marvel’s Spider-Man, jangan risau. Spider-Man: Miles Morales juga akan dilancarkan untuk PS4 pada tarikh yang sama.

Sumber: PlayStation Blog

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+