Phil Spencer, ketua bahagian Xbox di Microsoft, baru sahaja mengeluarkan satu blog post yang menerangkan lagi beberapa ciri-ciri yang terdapat pada konsol Microsoft generasi seterusnya iaitu Xbox Series X.
Salah satu pendedahan yang menarik ialah konsol tersebut akan mengandungi satu fungsi yang dipanggil Smart Delivery.
Mengikut apa yang ditulis oleh Phil, Smart Delivery adalah satu teknologi yang mampu mengenal pasti konsol yang anda miliki dan ia akan memastikan anda mendapat permainan video yang sesuai untuk konsol tersebut.
Selain itu, anda juga tidak perlu membeli sebuah permainan video berkali-kali untuk main di konsol atau platform berlainan.
Maksudnya, mereka yang membeli permainan seperti Halo Infinite untuk Xbox One tidak perlu membelinya sekali lagi untuk Xbox Series X. Mereka hanya perlu muat turun versi Xbox Series X dan terus main.
Butiran-butiran lain tentang Xbox Series X juga diceritakan dalam blog post tersebut.
Konsol tersebut akan mempunyai kad grafik yang mengandungi unit pemprosesan grafik (GPU) sebanyak 12 TFLOPS. Jumlah itu dua kali ganda bilangan GPU dalam Xbox One X dan lapan kali ganda Xbox One.
Dengan anggaran harga pelancaran sekitar AS$499 (RM2,100), Xbox Series X masih boleh dianggap sebagai satu konsol yang berpatutan apabila mengambil kira semua kelebihannya.
Bagi rakyat Malaysia yang kebanyakannya lebih cenderung membeli konsol PlayStation, Sony masih berdiam diri dan tidak mendedahkan maklumat baru tentang PlayStation 5 (PS5) sejak kebelakangan ini.
Ditambah pula dengan berita penarikan diri Sony daripada menghadiri acara-acara besar seperti PAX East dan Game Developers Conference (GDC) 2020, ramai peminat PlayStation tertanya-tanya bila Sony akan mengumumkan berita baru tentang PS5.
Susah untuk membayangkan situasi di mana peminat permainan video di Malaysia akan mengabaikan PlayStation dan menyertai keluarga Xbox tetapi jika Sony terlalu lambat bertindak, tak mustahil perkara tersebut berlaku.
Sumber: Xbox
Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.