Alat Kawalan PS5 Didedahkan, Tidak Lagi Dipanggil Dualshock

Cara Sony mendedahkan butiran-butiran baharu mengenai konsol mereka yang seterusnya iaitu PlayStation 5 (PS5) agak pelik. Kita masih belum mengetahui reka bentuk konsol tersebut tetapi kini alat kawalannya sudah didedahkan.

DualSense ialah nama baharu alat kawalan PS5. Ia tidak lagi dipanggil Dualshock dan akan memperkenalkan beberapa perubahan yang menarik seperti penampilan dwi-warna. Nampaknya model utama DualSense menggunakan warna putih sebagai warna utama dan dihiasi warna hitam.

Penulis berpendapat pilihan warna putih sebagai warna utama DualSense mungkin bermaksud bahawa model utama konsol PS5 juga akan berwarna putih. Jika benar, ini merupakan perubahan yang agak menarik dalam sejarah PlayStation kerana konsol terakhir yang tidak menggunakan warna hitam sebagai warna utama ialah PlayStation yang pertama.

Dari segi reka bentuk, DualSense mempunyai bentuk yang lebih berlengkung berbanding model-model Dualshock. Ia kini lebih mirip dengan bentuk alat kawalan Xbox Series X. Persoalannya, adakah ia selesa untuk digunakan? Kita perlu tunggu dan cuba sendiri untuk tahu.

Selain itu, bar cahaya yang diletakkan pada bahagian hadapan alat kawalan PlayStation 4 (PS4) telah diubah ke lokasi baharu. Ia kini terletak di sebelah kiri dan kanan pad sentuh. Sony menyatakan ini membuatkan bar cahaya tersebut nampak lebih besar dan menyerlah.

Satu lagi ciri baharu DualSense ialah ia akan mempunyai sebuah mikrofon bina dalam. Ini membolehkan pemain untuk menggunakan fungsi bual suara dengan mudah. Untuk perbualan tempoh panjang, Sony sendiri menggalakkan anda menggunakan sebuah headset.

Butang “Share” pula telah diberi nama baharu iaitu “Create”. Walaubagaimanapun, Sony belum mendedahkan penambahbaikkan fungsi Create berbanding dengan Share. Mereka akan menerangkannya pada masa hadapan.

Seperti yang dijanjikan semasa pengumuman nama rasmi PS5, butang L2 dan R2 kini dipasangkan picu penyesuai (adaptive triggers). Mengikut keadaan yang sedang berlaku dalam permainan video seperti menarik busur, kedua-dua butang tersebut akan memberikan tindak balas yang lebih realistik.

Antara kritikan yang pernah dilontarkan terhadap Dualshock 4 ialah ia mempunyai bateri yang tidak tahan lama walaupun selepas dicaj sepenuhnya. Sony menyatakan mereka memastikan DualSense mempunyai bateri yang lebih “kuat” tetapi penulis akan tunggu dan lihat dahulu sebelum menerima kenyataan tersebut.

Apa pendapat anda tentang alat kawalan PS5 ini? Adakah reka bentuknya lebih menarik berbanding Dualshock 4 atau ia terlalu “gemuk”? Bagaimana pula dengan pilihan warnya? Adakah anda lebih gemar alat kawalan yang berwarna hitam sepenuhnya?

Kongsikan pendapat anda bersama kami melalui Facebook, Instagram, dan Twitter!

Sumber: PlayStation Blog

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+