Aylrhmn – Streamer Yang Menanggung Kos Perubatan Isteri RM9,000 Sebulan

Hipertensi Pulmonari antara penyakit yang mempunyai bilangan pesakit yang rendah di Malaysia. Biasanya, penghidap akan mengalami kesukaran untuk bernafas, sakit dada, palpitasi jantung dan bermacam lagi gejala lain.

Bagi Mohd Nazzrul Rahman Myrlizam atau Aylrhmn, 34 tahun, dia tetap sabar dan berusaha membantu isterinya yang menghidap penyakit ini.

Ikuti temubual antara penulis bersama streamer Facebook Gaming ini.

 

Redha dengan apa terjadi

Aylrhmn mendapat tahu penyakit isterinya pada tahun lalu.

“Selepas didiagnos dengan penyakit ini, kami berdua redha. Perlu berusaha dan kerja lebih keras menghadapi segala kemungkinan.

“Hipertensi Pulmonari ialah penyakit di mana arteri dan kapilari di dalam paru-paru menjadi kecil, tersekat atau musnah. Ini menjadikan darah sukar mengalir melalui paru-paru, lalu meningkatkan tekanan dalam arteri paru-paru.

“Antara gejala penyakit ini ialah kesukaran untuk bernafas, sakit dada, palpitasi jantung, bengkak pada kaki (edema), batuk berdarah (hemoptysis), mudah letih dan sebagainya. Isteri saya mengalami semua gejala tersebut,” jelas Aylrhmn.

Ada juga beberapa kali insiden serangan gout menyebabkan isterinya menjadi lebih beremosi dari biasa.

“Pergerakan terbatas kerana sendi pada kaki dia bengkak. Bila insiden seperti ini berlaku, saya perlu beri lebih perhatian dan memberi sokongan moral kepadanya untuk tidak mudah mengalah,” tambahnya.

 

Streaming dan fotografi perkahwinan bantu isteri

Bekerjaya sebagai wedding photographer sejak 13 tahun lalu.

Kata Aylrhmn, biarpun berdepan ujian sebegini, Allah mempermudahkan segalanya.

“Masa mula-mula doktor terangkan kepada kami tentang kos bulanan untuk ubat isteri saya, sejujurnya luluh hati mendengarnya. Pening fikir macam mana nak tanggung kos itu.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan oleh Allah. Dalam bulan yang sama, saya ditawarkan  partnership oleh pihak FB Gaming. Lega habis!

“Saya menganggap ini semua rezeki daripada Allah untuk isteri saya,” jelas Aylrhmn.

Dia juga berterima kasih kepada sahabatnya KingKarlaa, Paroi Studios, Nurman69.TV, dan Vigor Elite yang memperkenalkan dunia streaming.

“Kerjaya streaming saya bermula sekitar dua tahun lepas dan mereka ini yang banyak membantu saya dalam kerjaya streaming,” kata Aylrhmn yang selalu strim game di konsol PlayStation 4 seperti FIFA 20 dan Apex Legends.

Mereka berkahwin pada tahun 2015 yang lalu.

Komited untuk menjalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang suami, Aylrhmn sudah berkarier selama 13 tahun dalam industri fotografi perkahwinan sehingga sekarang.

“Alhamdulillah, pendapatan dari streaming dapat membantu serba sedikit untuk menampung kos perbelanjaan sekeluarga. Pendapatan utama saya masih lagi berpunca dari fotografi perkahwinan. Lagipun, isteri saya juga masih bekerja,” jelas Aylrhmn.

 

Perlu ambil ubat dengan kos RM9,000 sebulan

Ubat Opsumit Macitentan berharga RM9,000. Foto: FB Ayul Rahman

“Sebelum ini, kami membuat cardiac assessment di HKL dan seterusnya pula di IJN untuk menjalani prosedur ‘Right Heart Catheterisation’ untuk mengesahkan penyakit isteri saya.

“Memandangkan penyakit isteri saya ini tak dapat diubati melalui pembedahan, isteri saya perlu mengambil beberapa ubat untuk membantu jantungnya supaya dapat berfungsi dengan baik,” kata Aylrhmn.

Mereka juga perlu menanggung kos perubatan sebanyak RM9,000 sebulan.

“Isteri perlu mengambil ubat Cialis Tadalafil dan Opsumit Macitentan. Kedua-dua jenis ubat ini berjumlah RM9,000 dan perlu dibeli setiap bulan. Setakat ini, ia belum lagi diberikan subsidi oleh kerajaan. Kemungkinan puncanya ialah jumlah pesakit Hipertensi Pulmonari yang sangat rendah di Malaysia.

“Sebagai penghidap penyakit ini, isteri saya juga perlu mengawal diet pemakanan dengan mengurangkan pengambilan sodium dan air untuk mengelakkan bengkak pada kaki akibat ‘water retention’.

“Alhamdulillah berkat rezeki isteri saya juga, kami baru sahaja mendapat bantuan untuk ubat Opsumit Macitentan berharga RM9,000 yang diuruskan oleh pihak Johnson & Johnson tetapi program tajaan ini hanya berterusan sehingga Julai 2020 sahaja,” jelas Aylrhmn.

Selepas itu, mereka perlu membuat penilaian kewangan kembali untuk menentukan sama ada mereka layak meneruskan program tajaan tersebut.

“Harapan kami supaya perkongsian ini dapat memberi kesedaran tentang kewujudan penyakit yang dihadapi oleh isteri saya dan juga kepada mereka yang mengalami simptom yang sama, sila dapatkan rawatan secepat mungkin sebelum terlambat,” akhirinya.

—-

Penulis berharap Aylrhmn dan isteri dapat mengharungi ujian ini bersama sehingga ke akhirnya. Insya-Allah.

RELATED NEWS

+