Hari Sukan Negara 2018: E-Sukan Akan Diberi Galakan, Memartabatkan Aktiviti E-Sukan

Perrmainan video sering dikaitkan dengan dakyah negatif sebagai aktiviti yang tidak mendatangkan apa-apa faedah atau untuk bermalas-malasan sahaja.

Namun, dakyah itu disangkal sama sekali. Pada 13 Oktober, acara e-sukan ditampilkan buat pertama kali pada Hari Sukan Negara 2018. Hari Sukan Negara mula dibentuk oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2015 akhirnya memberi laluan kepada acara e-sukan yang sudah sebati dalam aktiviti kalangan muda.

YB Syed Saddiq berucap selepas majlis perasmian Hari Sukan Negara 2018

“Ini merupakan pertama kali e-sukan dilibatkan secara rasmi (dalam Hari Sukan Negara 2018). Saya sangat gembira dan akan menggalakkannya sebab pertama sekali, Malaysia berada di kedudukan yang agak unik, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan lagi, “Kalau kita lihat perkembangan e-sukan atau esports, Asia Tenggara merupakan rantau yang berkembang paling pesat sekali dan kita nak posisikan Malaysia sebagai hab e-sukan baru di ASEAN.”

Melihat kepada pasaran e-sukan menggalakkan sehingga mampu mencecah USD$580 juta, beliau menambah masuk faktor minat anak muda terhadap permainan video bukan sahaja dalam e-sukan malahan boleh meningkatkan minat mereka kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi seperti dalam bidang pembangunan komputer, kejuruteraan IT dan lain-lain.

Tambahan pula, Syed Saddiq juga mahu melihat acara e-sukan akan terlibat secara berterusan bagi Hari Sukan Negara akan datang.

“Kerajaan juga akan menitikberatkan perkembangan e-sukan dan pada masa yang sama, sukan secara keseluruhan. Ini kerana semua orang ada minat sukan tersendiri, jadi kita nak membudayakan sukan untuk semua,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan perlawanan permainan video di MyGameOn Streaming Lounge, sebahagian dari Esports Experience sempena Hari Sukan Negara 2018.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempat meluangkan masa bagi merasai kemeriahan e-sukan dalam penampilan sulung Esports Experience di acara tahunan Hari Sukan Negara.

Acara Esports Experience juga disokong oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama persatuan penting dalam pembangunan e-sukan negara seperti Esports Malaysia (ESM), Ansara Esports, Geek Fam, Kitamen, Flash Vision, GamesBond dan banyak lagi.

Hari Sukan Negara 2018 memperlihatkan gelanggang e-sukan bagi kejohanan permainan video e-sukan terkenal seperti FIFA 19, Pro Evolution Soccer (PES 19), Dota 2, FIFA Online 3, Mobile Legends, Arena of Valor dan CS:GO. Selain itu, pengunjung boleh turut serta dalam aktiviti disediakan dalam khemah khas ditujukan untuk aktiviti e-sukan dan boleh mencuba pelbagai jenis permainan video.

Sesi MGO Streaming Lounge dihoskan oleh Keanu Azman bersama pemain profesional FIFA, Amirul “AmTuah” Afandi.

MyGameOn turut memeriahkan suasana Esports Experience dengan MGO Streaming Lounge sepanjang dua hari ini pada 13 dan 14 Oktober. Sementara itu, korang boleh merealisasikan impian untuk menjadi streamer sambil bermain game di Streaming Lounge. Bagi yang berminat, korang boleh ikuti rancangan MGO Streaming Lounge di laman rasmi Facebook kami.

Bagi yang berkesempatan, mari pakat bersama-sama keluarga dan rakan-rakan turun padang meluangkan masa dan beramah mesra bersama personaliti dan atlit e-sukan popular di Stadium Bukit Jalil. Jumpa korang di sana! 

RELATED NEWS

+