Kes Muhammad Aiman Dari AROV Esports Kini Mendapat Perhatian KBS

Pemain kompetitif PUBG Mobile, Muhammad Aiman atau Amypro mendapati impiannya untuk mengharumkan nama Malaysia terkandas apabila tidak berupaya untuk ke Shanghai, China bagi menyertai liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open (PMCO) Fall Split yang dijangka bermula pada 18 September.

Seperti yang dilaporkan WTM Today, Aiman yang juga pemain AROV Esports mempunyai masalah kekurangan dokumen lengkap seperti kad pengenalan diri dan pasport sekali gus membantutkan perjalanannya ke luar negara.

Dalam laporan itu menyebut pengurus pasukan AROV, Danial Rusli mengatakan aduan kepada pegawai berkaitan sudah dibuat sebelum ini dan proses akan mengambil masa sehingga lima tahun.

Katanya, Aiman juga pernah berjumpa dengan jabatan pendaftaran negeri namun hanya menemui jalan buntu.

Kes ini kemudian mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menugaskan pegawainya untuk berhubung dengan Aiman bagi memahami perkara sebenar berlaku.

Mengikut penjelasan Danial kepada penulis pula, sudah ada pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) menghubunginya untuk tindakan lanjut.

“Sebentar tadi ada pegawai MSN yang menghubungi saya bagi bertanyakan lanjut tentang masalah dokumen ini dan meminta butiran,” katanya.

Buat sementara ini, mereka hanya perlu menunggu jika ada perkembangan baru dari MSN/KBS ataupun daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Lineup penuh AROV setakat ini ialah AROVxMrR88, AROVxJenny, AROVxPutra dan pengganti Aiman sedang dicari dalam masa begitu suntuk ini.

Liga Asia Tenggara PMCO Fall split akan berlangsung pada 18 September hingga 20 Oktober, mengumpulkan hadiah wang tunai terkumpul RM131,000.

Ia membariskan 20 pasukan profesional PUBG Mobile dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan Vietnam serta 4 slot wildcard untuk bertanding selama sebulan bagi melayakkan diri ke Kejohanan Musim Luruh Asia Tenggara PUBG Mobile. 

Terima kasih WTM Today!

Foto: Boyka Gaming

RELATED NEWS

+