Level Up KL 2019 Dibuka Untuk Orang Awam Buat Kali Pertama, Ikut Jejak Gamescom & Tokyo Game Show

Level Up KL 2019 akan dibuka untuk orang awam buat pertama kali dalam sejarah dengan mengikut gaya konvesyen game terbesar dunia seperti Gamescom dan Tokyo Game Show.

Semasa sidang akhbar Level Up KL 2019, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri mengumumkan Level Up KL 2019 dibuka untuk semua daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi mendedahkan orang ramai tentang industri game dan e-sukan di Malaysia secara menyeluruh daripada perspektif pembangun, pemain, komuniti dan kerajaan untuk membangunkan ekosistem yang sihat dan kompetitif. 

Mengenali industri game Malaysia bernilai RM2.6 billion

Dari kiri: CEO MDEC, Surina Shukri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo menghadiri sidang akhbar Level Up KL 2019

Menurut Surina, industri game telah mencapai kejayaan besar pada tahun 2018 yang berjaya menjana USD$633 juta (RM2,650b). Ini meletakkan Malaysia di tangga ke-21 dalam senarai pendapatan game antarabangsa iaitu lebih mengatasi negara Belanda dan Poland.

Studio game di Malaysia turut menawarkan pelbagai servis seperti pembangunan game, penciptaan seni, kejuruteraan, pengujian dan penilaian, pembangunan IP asal dan banyak lagi. Antara studio ternama yang bertapak di Malaysia adalah Metronomik, Magnus Games Studio, Passion Republic, Lemon Sky, Kurechii dan banyak lagi.

Sebelum ini, konvesyen banyak tertumpu kepada pembangun game untuk berkongsi dan berhubung bersama orang penting dalam industri game tempatan dan antarabangsa.

Tarikh dan tempat Level Up KL 2019 

Pada tahun 2019, acara dianjurkan oleh MDEC ini mahu memainkan peranan penting bagi meningkatkan kesedaran #healthygaming yang mana kerajaan dan badan-badan swasta bekerjasama untuk menghasilkan sebuah hub khas untuk segalanya game digital di rantau Asia Tenggara.

Level Up KL 2019 bakal diadakan pada 6 hingga 10 November 2019 dan acara ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu Business Day dan Public Day.

  • Level Up KL Biz

Suasana persidangan semasa Level Up KL 2018

Business Day atau dinamakan sebagai Level Up KL Biz menggunakan formula sama seperti yang pernah dianjurkan pada tahun lepas. Ia akan diadakan pada 6 hingga 8 November 2019 bertempat di Connexion Convention Centre & Exhibition Centre, Bangsar South.

Level Up KL Biz fokus kepada aspek pusat temu bisnes industri game seperti Business Connection Programme (BCP), pameran game dalam Indie Showcase & Industry Exhibitors dan menjemput pembangun game dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman mereka dalam industri game semasa dua hari persidangan. 

Untuk hari terakhir Level Up KL Biz, Southeast Asia Games Awards kembali untuk tahun ke-3 memberikan penghargaan kepada pelbagai jenis game yang dihasilkan di rantau Asia Tenggara.

  • Level Up KL Play

Level Up KL Play atau Public Day akan membuka pintu kepada peminat game dan e-sukan dalam satu bumbung yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre.

Menurut Naib Presiden Teknologi dan Kandungan Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin berkata pengunjung bakal melihat semua atlet e-sukan yang bakal mewakili Malaysia untuk satu acara penyerahan bendera (flag-off) sebelum berangkat ke Sukan SEA 2019.

Sepanjang dua hari itu, terdapat tiga acara bakal disajikan untuk orang awam iaitu E-Sports Summit, main game buatan Malaysia dan rantau Asia Tenggara seperti No Straight Roads dan Re:Legend dalam PLAY! Consumer Exhibition Showcase, aktiviti pentas utama pada Stage Segments dan juga Seminar & Workshops.

Hasnul menjangkakan lebih kurang 30,000 orang bakal berkunjung untuk Level Up KL Play pada 9 hingga 10 November 2019.

Kami pernah melaporkan sekitar Level Up KL 2018 diadakan pada Oktober tahun lepas. Bertemakan ‘Beyond Entertainment’, korang boleh baca laporan hari pertama di sini dan hari kedua di sini.

Untuk maklumat lanjut tentang Level Up KL 2019, korang boleh layari laman sesawang rasmi mereka di sini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+