E-sukan bukan lagi dipandang enteng terutama sekali ketika pasca pilihanraya umum ke-14 yang baru saja selesai dengan penubuhan kerajaan baru. Tambahan lagi masa depan atlet e-sukan kelihatan lebih cerah, menurut Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pembangunan E-stadium antara manifesto Pakatan Harapan untuk PRU ke-14 dan Syed Saddiq memperincikannya seperti berikut. Katanya E-stadium bukanlah berkaitan dengan pembangunan infrastruktur tapi lebih kepada fasiliti.
“Kita tak boleh lupakan golongan (atlet e-sukan) kerana golongan ini agak besar, khususnya anak muda yang berusia 25 tahun ke bawah. Kita perlu membantu mereka.
“Contohnya dengan menyediakan latihan dan infrastruktur jika mereka mahu mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan memastikan mereka mempunyai elaun yang cukup, supaya mereka dapat sara hidup dan membanggakan malaysia di peringkat dunia,” katanya dalam satu wawancara bersama Astro Awani, semalam.
Syed Saddiq menambah, beliau ingin mengubah tanggapan negatif terhadap e-sukan dan gaming khususnya kerana e-sukan adalah sebahagian daripada evolusi sukan.
“Mungkin ada pihak akan kata kenapa mahu bantu mereka (pemain e-sukan) yang malas duduk atas kerusi tidak membuat apa-apa. Tetapi, sukan berevolusi.
“Kalau kita lihat pada kurun ke-18 atau ke-19, sukan yang ada sekarang mana ada wujud pada masa dahulu.
“Kita perlu pandang ke hadapan. Kita sudah masuk ke fasa yang baru dan ia melibatkan e-sukan,” tambah Syed Saddiq.
Ini adalah berita baik kepada atlet e-sukan kerana seiring dengan perkembangan terkini industri, mereka pastinya perlukan bantuan yang wajar daripada kerajaan. Tambahan lagi apabila e-sukan kini dipamerkan di Sukan Asia 2018, Jakarta dan Palembang pada Ogos ini.
Dengan adanya bantuan berterusan, mungkin zaman kegemilangan Mushi akan kembali dan kita mampu membentukan pasukan ALL MALAYSIAN tanpa mengharapkan pemain import.
Sumber: Astro Awani