Pelancaran Black Mirror: Bandersnatch sekitar awal tahun ini menampilkan sedikit kelainan dalam pengalaman tontonan iaitu memberikan kebebasan kepada penonton untuk menyulam jalan cerita protagonis utama, Stefan dengan pilihan korang tersendiri yang membawa ke pelbagai pengakhiran.
Walaupun filem ini telah membuka laluan baru kepada penceritaan interaktif, Bandersnatch mengambil banyak inspirasi daripada pelbagai bentuk fiksyen interaktif seperti dalam permainan video, malahan pencipta Black Mirror, Charlie Brooker menggunakan salah satu perisian pilihan pembangun game untuk menghasilkan naratif interaktif.
Fiksyen interaktif yang menggunakan formula ‘choose-your-own-adventure’ sudah lama bertapak sejak tahun 1980an dan kini berkembang menjadi lebih canggih selari dengan teknologi zaman sekarang. Genre ini sering dorong pemain untuk memutuskan pilihan mencabar, lalu menjadikan korang selalu berbelah-bahagi antara nilai-nilai moral diri dan memberi keputusan terbaik dalam sesuatu jalan cerita.
Berikut adalah 7 permainan video yang buat korang garu kepala seperti korang alami semasa menonton Black Mirror: Bandersnatch.
1. Simulacra
Mengambil elemen diterapkan dalam Sara is Missing, Kaigan Games membawa pemain untuk menjumpai sebuah telefon pintar milik wanita bernama Anna di pintu hadapan rumah. Pada pandangan pertama, semuanya seakan normal. Ketika cuba untuk menyemak kembali rekod panggilan, gambar dan fail bagi menjejaki wanita misteri ini, korang bakal berhadapan dengan situasi menggerunkan yang menimbulkan kerisauan tentang siapa sebenarnya Anna dan di mana lokasi sebenar dia?
Keanehan tidak terhenti di situ sahaja. Studio tempatan ini melancarkan sebuah game stand-alone bertajuk Simulacra: Pipe Dreams menampilkan kisah pemain tegar bernama Teddy cuba sedaya-upaya untuk mengatasi ketagihannya bermain sebuah game percuma, FlappeeBird. Simulacra lebih seronok dimainkan melalui Android dan iOS serta boleh dijumpai di Steam.
2. Detroit: Become Human
Pada tahun 2033, android atau robot berupa manusia telah hidup di samping manusia dengan peranan mereka untuk membantu kita dalam pelbagai tugas sebagai sumber hiburan, keselamatan negara, penjagaan rumahtangga dan sebagainya. Masalah mula timbul apabila kes-kes android mula ‘terkeluar’ dari arahan sistem sebenar kian berleluasa lalu membahayakan nyawa manusia sejagat dan juga android dalam kalangan masyarakat. Korang akan bermain sebagai tiga android: Connor, Kara dan Markus yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk terus hidup dalam masyarakat selesa bersama android atau meruncingkan lagi perhubungan manusia antara android bergantung kepada pilihan korang.
Detroit: Become Human adalah pilihan permainan video terbaik sepanjang tahun 2018 dan dilancarkan secara eksklusif di PS4.
3. Until Dawn
Senda gurau sekumpulan 10 remaja membawa padah apabila pasangan kembar hilang tanpa jejak dalam ribut salji ketika mereka sedang bercuti di kabin terpencil di kawasan pergunungan Kanada. Demi memperingati kisah tragis, mereka semua bertemu kembali di kabin yang sama setahun kemudian. Namun, apa yang mereka bakal hadapi dalam perjumpaan ini bertukar menjadi mimpi buruk apabila entiti yang bertanggungjawab atas kehilangan pasangan kembar masih lagi berlegar di sekeliling mereka.
Dibintangi pelakon Hollywood terkenal seperti Rami Malek (Bohemian Rhapsody), Hayden Panettiere (Heroes) dan Brett Dalton (Agents of S.H.I.E.L.D), korang akan menentukan nasib hidup atau mati kesemua 8 remaja dalam Until Dawn hanya boleh dimainkan di PS4.
4. The Wolf Among Us
Berdasarkan siri komik Fables oleh Bill Willingham, The Wolf Among Us menghidupkan watak-watak yang korang kenali dalam kisah dongeng kanak-kanak ini. Komuniti Fabletown digemparkan oleh pembunuhan kejam seorang wanita yang dibunuh dalam keadaan mengerikan. Korang akan bermain sebagai Bigby Wolf (Big Bad Wolf) iaitu seorang syerif yang ditugaskan untuk menyiasat kes dan dibantu oleh Snow White dan Magic Mirror. Setiap gerak geri Bigby yang korang pilih akan bersangkut paut dengan hubungannya bersama penduduk Fabletown lain seperti Beauty & The Beast, Ichabod Crane dan ramai lagi.
The Wolf Among Us boleh dimainkan di PC, PS4, PS3, PS Vita, Xbox One, Xbox 360, Android dan iOS.
5. Doki Doki Literature Club!
Seorang pelajar lelaki menyertai kelab sastera bahasa Inggeris di sekolah dan berkenalan bersama 4 pelajar perempuan yang merupakan ahli kepada kelab berkenaan. Jika pandang sepintas lalu, ia kelihatan seperti game novel visual biasa tetapi jangan menilai dari bahagian luaran sahaja. Semakin dekat korang kenali 4 gadis ini, korang terjerumus dalam sisi gelap di sebalik gadis-gadis “suci” ini. Hati-hati.
Doki Doki Literature Club boleh didapati secara percuma di Steam (PC).
6. Life is Strange
Max Caulfield dikurniakan dengan kuasa aneh iaitu kebolehan untuk mengawal masa setelah kejadian ribut melanda tempat tinggalnya di Arcadia Bay. Kehidupannya berputar bagaikan roda tanpa henti apabila dia menyaksikan kejadian yang mungkin membawa kesan buruk kepadannya dan rakan sekelilingnya pada masa hadapan. Sebagai seorang pengawal masa, korang sendiri boleh tentukan nasib sebenar Max dan kawan-kawannya.
Life is Strange kini boleh dimainkan di PC, PS4, PS3, Xbox One, Xbox 360, Android dan iOS. Jika korang minat game ini, korang boleh cuba prekuel yang memfokuskan kepada Chloe Price, kawan karib Max bertajuk Life is Strange: Before the Storm dan selami kisah individu istimewa baru dalam Life is Strange 2.
7. The Walking Dead
Daripada komik yang bertukar menjadi rancangan TV popular di Amerika Syarikat, Telltale Games mempersembahkan siri game berbentuk episodik yang bertahan selama 4 musim. Pada musim pertama, kita ditemukan dengan seorang profesor bertukar menjadi banduan bernama Lee haruslah menjaga seorang gadis cilik, Clementine daripada diserang zombi. Pada musim terakhir dan keempat, Clementine sudah pun meningkat usia remaja dan tidak lagi bersama Lee. Malahan, dia pula bertukar peranan iaitu menjadi penjaga A.J, seorang kanak-kanak yang dilahirkan dalam zaman pasca-apokalips.
Jika korang ingin bermain game yang meruntun jiwa ini, korang boleh dapatkan The Walking Dead Collection terdiri dari ketiga-tiga musim iaitu Season 1, Season 2 dan Season 3: A New Frontier termasuk kandungan tambahan (DLC) seperti 400 Days dan Michonne untuk PS4 dan Xbox One. The Walking Dead: The Final Season juga bakal menyambung episod ketiga pada 15 Januari 2019 di PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch.