Genshin Impact 1.1 memperkenalkan 4 watak baharu dan akan tiba untuk PS5

Ibarat melibatkan diri juga dalam sambutan 11 November, miHoYo merancang untuk melancarkan kemas kini Genshin Impact 1.1 pada tarikh yang sama. Kemas kini ini mengandungi beberapa penambahan besar yang semestinya menarik minat pemain Genshin Impact.

Penulis yakin bahawa penambahan yang paling mengujakan ialah empat watak baharu yang boleh dimain iaitu Childe, Zhongli, Xinyan, dan Diona. Childe dan Zhongli merupakan watak 5 bintang, manakala Xinyan dan Diona pula merupakan watak 4 bintang.

Dari segi jalan cerita, kemas kini ini akan melengkapkan babak Liyue. Terdapat tiga susunan penuh quests yang akan menyambung jalan cerita Genshin Impact dan menamatkan pengembaraan pemain di Liyue.

Satu acara bermusim baharu juga akan diperkenalkan dan para pemain berpeluang memenangi watak Fischl dalam acara ini. Ia bertajuk Unreconciled Stars dan ia akan memperkenalkan beberapa quests serta cabaran co-op.

miHoYo juga akan memperkenalkan sebuah Sistem Reputasi yang memberi pemain penilaian berbeza mengikut setiap bandar dalam permainan ini. Penilaian ini boleh dinaikkan dengan menyiapkan aktiviti-aktiviti di kawasan bandar-bandar tersebut. Pemain yang rajin menaikkan reputasi akan memperoleh ganjaran-ganjaran istimewa.

Antara item baharu yang akan diperkenalkan dalam kemas kini dan juga dimasukkan dalam senarai ganjaran Sistem Reputasi adalah waypoint mudah alih, dapur mudah alih, dan kompas harta karun.

Akhir sekali, miHoYo telah mengesahkan bahawa Genshin Impact boleh dimainkan di PlayStation 5 (PS5) kelak dan versi ini akan mempunyai kualiti grafik yang lebih tinggi dan waktu muatan yang lebih pantas.

Sumber: IGN

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+