Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini telah mengumumkan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan (National Digital Inclusion Council) untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam ekonomi digital.
Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia Ke-30, Dr Mahathir memberitahu initiatif ini sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerana menggunakan teknologi digital demi peningkatan tahap sosial dan ekonomi rakyat Malaysia.
Pada masa yang sama, beliau berkata MSC telah mencipta 183,000 pekerjaan bernilai tinggi di hampir 3,000 dengan jumlah pendapatan hampir RM500 bilion sejak ditubuhkan pada tahun 1996.
Dr Mahathir meluahkan rasa gembira atas kejayaan syarikat teknologi tempatan kini dikenali sebagai pemain global. Sebagai contoh, Aerodyne merupakan syarikat yang khusus dalam teknologi dron kecerdasan buatan dan menduduki tempat ketiga di dunia.
“Terdapat juga beberapa syarikat yang tersenarai di Forbes Asia’s 200 Best Under A Billion 2019. Pembangun kandungan kreatif digital tempatan juga adalah pemain utama dalam sektor animasi dan permainan video (IP),” kata Dr Mahathir melalui video di bawah:
Beliau juga menambah, “Siapa tidak pernah dengar Boboiboy, Upin & Ipin, No Straight Roads, CryptantCrab dan Re:Legend? Sudah semestinya ini adalah kelebihan untuk menarik perhatian dan menerima teknologi baru, membangunkan bakat-bakat teknologi kreatif dan memudahkan kerangkuman digital untuk memastikan kemahmuran bersama.”
No Straight Roads merupakan game aksi ritma daripada Metronomik iaitu studio yang ditubuhkan bersama oleh Wan Hazmer dan Daim Dziauddin yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 di PS4 dan PC.
CryptantCrab adalah game pelayar web berdasarkan blockchain dalam bentuk ketam dibangunkan oleh Appxplore manakala Re:Legend adalah game role-playing game (RPG) yang dihasilkan oleh Magnus Games Studio yang mana korang boleh main Early Access sekarang di Steam (PC).
Majlis ini dikepalai oleh Tun Mahathir dan lebih daripada 12 kementerian dalam kabinet Malaysia manakala Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) disandang sebagai sekretariat.
Antara kementerian yang menganggotai majlis ini adalah menteri daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kewangan, Komunikasi dan Multimedia, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembangunan Luar Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ia juga termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Pengangkutan, Pembangunan Usahawanan, Belia dan Sukan, Sumber Manusia dan Wilayah Persekutuan.
Sumber: Astro Awani
Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di Facebook, Twitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.