Berikutan desas desus yang melanda komuniti e-sukan tanah air beberapa minggu lalu berkenaan pemilihan atlet ke Sukan SEA, Hanoi, Vietnam bagi kategori FIFA Online 4, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya keluarkan kenyataan, hari ini.
Berdasarkan kenyataan itu, pemilihan skuad FAM eRimau Kebangsaan terdiri daripada Ahmad Akmal Abdul Rafil sebagai ketua jurulatih manakala senarai nama bagi empat pemain adalah seperti berikut:
- Muhammad Luqman Haziq Hajiman (LuqmanHzq)
- Muhammad Asyraf Kamal (AK31)
- Gan Mun Kiat (RippedJeannn)
- Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan (P3rlisTeamJr)
Menurut kenyataan itu lagi, FAM adalah organisasi yang diamanahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar wakil negara ke temasya Sukan SEA 2021 bagi kategori FO4.
Menguatkan lagi faktor pemilihan ini apabila badan induk bola sepak dunia, FIFA mencadangkan ia dilakukan melalui pemilihan pemain bertanding di kejohanan FIFAe Nations atau saringan melalui FIFA HD kerana ketiadaan pelayan (server) FO4 di Malaysia. Cadangan ini turut diberikan kepada negara lain yang tak mempunyai pelayan FO4.
Mengambil kira ketiadaan pelayan FO4, FAM mengambil pendekatan untuk menggabungkan pemain FO4 dan pemain skuad FAM eRimau FIFAe Nations Cup sebagai strategi untuk menubuhkan pasukan yang akan menggalas cabaran negara.
Strategi ini juga dilihat dapat membantu capai sasaran pada temasya Sukan SEA kali ini.
Tulis kenyataan itu, Luqman Haziq sudah menduduki tangga kelima ranking dunia bagi FIFAe Nations, skuad FAM eRimau diletakkan sebagai kategori A bagi penyertaan kali ini.
Skuad FAM eRimau juga menjalani latihan bootcamp di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 25 April hingga 29 April dan mereka dijadualkan terbang ke Hanoi pada 10 Mei ini.
Terdahulu, netizen mempersoalkan adanya campur tangan dari pihak FAM dalam pemilihan atlet yang mana kelayakan sudah pun diadakan oleh Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF).
Sumber: FAM