Juara-juara negeri bagi Liga E-Sukan Malaysia 2021 (MEL21) diumumkan

Esports Integrated (ESI) mengumumkan juara-juara negeri bagi Liga E-Sukan Malaysia 2021 (MEL21) dan permulaan bagi Liga Kebangsaan MEL21 (National).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican hari ini.

Sejumlah 288 pemain dari 64 pasukan dinobatkan sebagai juara negeri. Mereka akan mewakili negeri masing-masing (13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan) di MEL 21 Nationals bagi merebut hadiah wang tunai RM20,000 bagi setiap kategori. 

Kategori-kategori yang akan dipertandingkan ketika MEL21 National adalah PUBG Mobile, MLBB, FIFA 21 dan Dota 2.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan kepada juara-juara peringkat negeri yang akan bersaing di MEL21 Nationals.

“Ini adalah titik permulaan anda untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, sekaligus membuka peluang untuk anda mewakili negara di masa hadapan,” kata YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan.

MEL21 dianjurkan oleh ESI dengan kerjasama 16 buah persatuan e-sukan negeri Hampir 30,000 orang pemain akar umbi mendaftarkan diri untuk menyertai MEL21, yang dilangsungkan secara dalam talian mengikut SOP yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1.

ESI menjangkakan jumlah tontonan sebanyak 100,000 orang semasa MEL21 Nationals.

MEL21 peringkat negeri yang julung kali diadakan berlangsung pada 10 Julai sehingga 8 Ogos 2021 dan MEL21 Nationals akan berlangsung bermula dari 14 Ogos hingga 1 September ini.

Sebanyak 200,000 orang menonton perlawanan MEL21 peringkat negeri melalui platform kejohanan esukan kebangsaan, esukan.gg dan melalui laman Facebook ESI. MEL21 Nationals akan disiarkan secara langsung di www.esukan.gg dan laman Facebook ESI.

RELATED NEWS

+