Menjelang aksi Play-Ins Siri Dunia Free Fire (FFWS) Bangkok 2022, wakil Malaysia iaitu pasukan Expand tetap jitu ingin fokus mengukuhkan mekansime pasukan.
“Di sini (Expand), kami sentiasa ingin memperkuatkan segala segala komposisi pasukan agar dapat mencabar pasukan lain,” ujar pengurus pasukan, Norain Abu Talib.
Menurutnya lagi, dia mengakui akan berdepan tentangan hebat oleh pasukan berpengalaman seperti bekas juara dunia EVOS Phoenix (Thailand) dan pasukan berpengalaman RRQ Kazu (Indonesia).
“Kami sentiasa menghormati pasukan berkenaan, tetapi dalam permainan segalanya akan pasti berubah,” tambahnya.
Pihak pembangun permainan Garena Free Fire mewajibkan pemain kelima bagi edisi kali ini. Perkara ini seakan membawa bayangan Expand akan membawa masuk salah seorang pemain yang bermain di dalam Kejohanan Major MCPS musim keempat dalam masa terdekat.
Norain berharap debut pasukannya di Siri Dunia kali ini dapat memberi impak positif buat pasukan Malaysia yang lain daripada segi pasaran region MCPS.
“Insya-Allah kami akan buktikan sesuatu kepada dunia seterusnya dapat mengharumkan nama negara,” akhir kata daripadanya.