Komuniti PES terkesan dengan pemergian arwah Azri Jepon

Pemergian Mohamad Azri “Jepon” nyata meninggalkan kesan kepada komuniti Pro Evolution Soccer (PES) di Malaysia. Allahyarham meninggal disebabkan COVID-19 dan sudah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ukay Perdana, Selangor, semalam.

Menceritakan saat kehilangan, abangnya, Mohamad Aidil berkata arwah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum meninggal dunia.

“Arwah tak ada menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa sebaliknya mengadu sakit dada. 

“Namun, pada hari Sabtu, saya dapat khabar dia tiba-tiba pengsan sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Menurut Aidil, kehilangan arwah nyata meninggalkan kesan kepada dirinya dan kepada komuniti PES.

“Arwah seorang yang peramah, menyenangkan ramai orang, ada ramai kawan dan aktif dalam komuniti.

“Ramai yang rapat dengan arwah sebab dia tak kedekut ilmu. Suka bagi tunjuk ajar kepada pemain lain yang bertanyakan tips, taktik dan sebagainya.

“Kehilangannya sangat dirasai sebab kami rapat. Walaupun arwah dah berkahwin tapi dia tak pernah berhenti berhubung menerusi Whatsapp,” katanya.

Menurutnya, kenangan yang paling manis adalah ketika dia, arwah dan adik bongsu, Azha menubuhkan skuad PES, T3 Gaming bersama.

“Menerusi clan itu, kami merekrut beberapa pemain. Saya ni sebagai abang, memang selalu sokong apa dia buat.

“Malah, ketika dia dilamar pasukan lain dan selalu pergi ke Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu untuk bertanding, saya tak pernah halang,” katanya yang berasal dari Johor.

‘Sifu’ PES di Malaysia

Menurut salah seorang sahabat dan ahli komuniti, Ariff Salman, arwah Azri dikenali sebagai salah seorang ikon atau sifu PES di Malaysia.

“Sikap beliau yang happy go lucky dan sentiasa menceriakan suasana membuatkan ramai rapat dengannya. Dalam gurau senda antara kami, memang tak ada ‘simpan’ ke apa-apa. Cerita situ, habis itu. 

“Satu sikap terpuji arwah, tak kedekut ilmu. Minta la ajar apa saja berkenaan PES, mesti dia akan kongsi sebab game tu passion dia,” katanya. 

Peramah, selalu ceria

“Dia sangat baik, tak kedekut ilmu, ceria selalu. Ramai orang suka.

“Arwah yang ajar saya dari zero sampai saya dapat wakil Malaysia. Terhutang budi sangat dekat dia. Dia sangat ramah. Rasa macam satu kehilangan besar dalam komuniti PES.

“Pengalaman saya tak boleh lupa, masuk pertandingan di Johor Bharu. Habis jam 4 pagi, jam 5 terus pergi Melaka. Masa tu juara 2vs2 dengan dia. Impian dia nak wakil Malaysia dah tercapai,” kata Mohd Haikal, pemain kompetitif PES.

Daripada Johor ke Pantai Timur

“Peramah, suka buat lawak dan kacau kawan-kawan bila ada tournament. Tak kedekut ilmu, suka kongsi pendapat dan ajar kawan-kawan.

“Dia boleh dikatakan sifu PES di komuniti PES di Johor. 

“Mana-mana pertandingan dalam negara, memang dia semangat nak join. Sampai Terengganu ke Kelantan sejak 2016,” kata Syed Afif, Head of East Coast di WEPES Malaysia.

Ramai yang sayang

“Sesungguhnya hati ini berasa cemburu betapa mudahnya pemergianmu sahabat.. Betapa ramainya yang sayang kau, yang doakan kau, yang terasa kehilangan kau.. Sesungguhnya urusan di dunia telah selesai.

“Semoga segala ilmu bermanfaat yang kau dah turunkan pada sahabat yang lain menjadi bekalan yang berguna. Tak ramai yang akan peluk aku, tapi tak sah kalau kite jumpe ko tak peluk.. besar maknanya walaupun nampak kecik.. apa saja cerita yang kita tak kongsi, masalah esports, peribadi, kerja, macam-macam lagi..
 
“Sampai masa untuk berehat dengan urusan dunia. Aku akan cuba lengkapkan mana yang tertangguh dengan sahabat yang lain.. buat keluarga arwah, semoga tabah dengan dugaan berat ini.. Allah dah atur segalanya yang  terbaik buat kita.. Al-Fatihah dan semoga ditempatkan di kalangan mereka yang beriman Ri,” kata Shaharil, wakil WEPES
Malaysia.
 
Sepanjang hayatnya, Azri sudah beberapa kali memenangi kejohanan PES di peringkat lokal dan pernah mewakili Malaysia di kejohanan luar negara. Beliau juga pernah menjadi jurulatih bagi pemain PES yang masih muda.
 
Kami dari MyGameOn ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan berharap lebih ramai mendoakan arwah.

RELATED NEWS

+