Liga Ace Series Pro Circuit: Kejohanan Sim Racing Pertama Di Asia Tenggara Bagi Mempromosikan eMotorsports!

Biasanya jika kita bercakap tentang esports, selalunya orang ramai tertumpu kepada pertandingan Dota 2, Counter-Strike: Global Offensive (CSGO), Mobile Legends, FIFA atau PES. Namun pernahkah korang dengar tentang kejohanan khas untuk game simulation racing seperti Live for Speed, rFactor dan Gran Turismo?

Kepada korang sukakan dunia sukan permotoran terutamanya peminat eMotorsports, berita baik bagi korang kerana negara kita bakal menjadi tuan rumah bagi kejohanan Ace Series Pro Circuit pertama dan satu-satunya kejohanan eMotorsports di rantau Asia Tenggara!

Dari kiri ke kanan: Pengarah Pembangunan Sukan KBS, Hasnata bin Hasan, Pengarah Genysis eMotorsports, Adwin Hoa, Timb. Ketua Pengarah, Bah. Pembangunan Sukan KBS, YB Encik Mohd Azhari Mohammad, Pengarah Urusan Genysis, Justin Sau, Pengerusi Spectra Global, Dato’ Sayed Alfeizal Sayed Ahmad dan Pengurus MSI Malaysia, Henry Chung.

Liga Pro Circuit dihasilkan dengan kerjasama antara Spectra Global Sdn Bhd dan Genysis All Evento Sdn Bhd. Kejohanan ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Berbekalkan pengalaman 30 tahun dalam menyelia atlet sukan permotoran tempatan seperti pelumba negara Nabil Jeffri yang mengharumkan Malaysia dengan posisi kedua terbaik dalam kejohanan WEC Le Mans di Silverstone, pengerusi Spectra Global Dato’ Sayed Alfeizal Sayed Ahmad menyambut baik usaha kerjasama syarikat pengurusan acara esports, Genysis bersama-sama sokongan padu diberikan oleh KBS dalam aspek esports yang semakin berkembang di Malaysia.

Beliau berkata, “Kejohanan ini boleh menjadi suatu titik permulaan untuk mewujudkan platform mengasah bakat-bakat atlet eMotorsports tempatan supaya mereka dapat bersaing dalam liga-liga eMotorsports antarabangsa seperti Formula One eSports Series, GT3 dan sebagainya.”

Berbeza dengan liga-liga esports lain, beliau juga berhasrat untuk menawarkan peluang menceburkan diri dalam sukan permotoran sebenar kepada pemenang Pro Circuit.

Aiman Haziq duduk bersama-sama tetamu kehormat untuk memandu uji simulator semasa pelancaran Pro Circuit di The Pantheon, Subang

Dengan tawaran peluang merasai memandu kererta berkuasa tinggi di trek lumba seperti di Litar Antarabangsa Sepang, ini memberi sinar harapan kepada pelumba go-kart, Aiman Haziq yang meminati eMotorsports secara dari kecil lagi dan bergiat aktif menyertai pertandingan sim racing. “Saya rasa sangat gembira dan berbesar hati kerana eMotorsports dapat dikenali oleh nama-nama besar.”

Pelajar kolej berusia 20 tahun yang sedang mempelajari jurusan Kejuruteraan ini sedar masih lagi ramai orang tidak tahu menahu tentang eMotorsports di Malaysia. Sebagai seorang yang lama aktif dalam online sim racing selama 12 tahun, dia berkata, “Sebenarnya, matlamat terbesar saya adalah untuk melonjakkan nama eMotorsports setaraf dengan esports lain di negara ini.”

Replika trofi Ace Series Pro Circuit yang mengambil inspirasi rekaan Litar Antarabangsa Sepang

Seiring harapan itu, pengarah urusan Genysis, Justin Sau berkata, “Kami akan merancang untuk mengadakan satu perlawanan tunjuk (showmatch) Ace Series Pro Circuit buat julung kalinya di Comic Fiesta pada Disember tahun ini untuk membuka mata orang ramai tentang eMotorsports dan juga kejohanan Pro Circuit.”

Beliau juga menambah, “Jika Pro Circuit mendapat sambutan baik daripada orang ramai, kami akan memperluaskan lagi kejohanan ini ke luar Malaysia dan akan membuka penyertaan pemain dari seluruh rantau Asia Tenggara.”

RELATED NEWS

+