Mortal Kombat 11 Ultimate diumumkan, Mileena dan Rain kembali bersama Rambo

NertherRealm Studios telah mengumumkan Mortal Kombat 11 Ultimate, versi lengkap Mortal Kombat 11 yang akan dilancarkan untuk PlayStation 5 (PS5) dan Xbox Series. Ia akan dilancarkan pada 17 November ini.

Versi ini mengandungi semua kandungan tambahan yang telah dilancarkan untuk Mortal Kombat 11 termasuk Kombat Pack 1, pengembangan Aftermath, dan Kombat Pack 2 yang juga baru diumumkan serentak dengan pengumuman Mortal Kombat 11 Ultimate.

Kombat Pack 2 memperkenalkan tiga watak-watak menarik ke senarai pahlawan Mortal Kombat 11. Dua watak Mortal Kombat iaitu Rain dan Mileena akan kembali melalui kandungan tambahan bersama satu watak baharu dari dunia lain iaitu John Rambo atau lebih dikenali sebagai Rambo.

Ya, ini adalah watak yang sama dari siri filem aksi Rambo yang sangat terkenal di seluruh dunia. Watak Rambo dalam Mortal Kombat 11 mempunyai penampilan Rambo versi muda dan suaranya dilakonkan oleh Sylvester Stallone sendiri.

Satu lagi pengumuman menarik daripada NetherRealm Studios ialah mereka mendedahkan bahawa pemilik Mortal Kombat 11 di PlayStation 4 (PS4) dan Xbox One akan menerima naik taraf percuma ke versi PS5 dan Xbox Series.

Seperti kebanyakan versi naik taraf permainan generasi kini, versi PS5 dan Xbox Series akan mempunyai beberapa penambahbaikkan seperti kualiti grafik yang lebih bagus, resolusi dinamik 4K, waktu muatan yang dikurangkan, dan ia juga menyokong permainan rentas-platform dan rentas-generasi.

Anda boleh mula pra-tempah Mortal Kombat 11 Ultimate pada 15 Oktober ini melalui laman web rasmi Mortal Kombat 11.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+