Persatuan e-sukan Negeri Sembilan (NSEA) dikaitkan dengan perkhabaran ingin menandatangani salah satu pasukan dalam arena kompetitif Free Fire MCPS musim keempat.
Hal ini sudah disahkan Presiden Persatuan e-sukan Negeri Sembilan (NSEA), Muhammad Faries Faizal melalui temu bual bersama MyGameOn.
“NSEA dalam proses akhir untuk mengesahkan kontrak pasukan ini seterusnya mendaftarkan ke pihak Garena Free Fire,” katanya.
Beliau juga berkata pasukan itu bakal diumumkan dalam masa terdekat, namun untuk proses pertukaran hak milik dalam kejohanan MCPS 4 akan mengambil sedikit masa dan dijangka akan disahkan pada minggu kedua liga.
“Kami ingin menceburi kancah e-sukan Free Fire kerana ingin meluaskan penguasaan ke permainan Battle Royale yang lain kerana nampak peluang e-sukan Free Fire sedang meningkat naik,” ujarnya tetang potensi komuniti Free Fire.
Tambahan lagi, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu permulaan untuk mengasah bakat anak muda yang ingin berjaya dalam arena e-sukan.
Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) adalah nama yang bukan asing dalam arena e-sukan tempatan apabila cemerlang meraih pingat gangsa di Temasya Sukan SEA dalam permainan PUBG Mobile.
Pasukan PUBG Mobile NSEA juga sudah menempah slot Play-In ke PUBG Mobile Pro League (PMPL) SEA selepas meraih tempat keenam pada Grand Final PMPL MYSGPH baru-baru ini.