PMCO: ‘Saya Yakin Mereka Akan Beraksi Cemerlang’ – CEO Gank, Kevin Wong

“Mereka tak berehat selepas mengharungi cabaran di Shanghai,” itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Gank, Kevin Wong berkenaan persediaan ahli skuad Yoodo Gank bagi kejohanan PUBG Mobile Club Open (PMCO) SEA Grand Finals di Jakarta, Indonesia yang akan bermula hari ini pada jam 2 petang waktu Malaysia.

“Kesemuanya kekalkan momentum semasa program di Shanghai dan mereka hanya ada masa seminggu saja untuk berlatih menghadapi kejohanan ini,” katanya.

KEVIN (dua dari kiri) bersama ManParang, Geek, Jimboy dan Draxx (paling kiri). Gambar: Gank.FTY

Tambah Kevin, dia percaya prestasi skuad ini sudah pun meningkat selepas lima minggu bertarung dalam liga.

“Konsep seperti boot camp ini di mana pemain bermain dan tinggal bersama untuk tempoh lima minggu sememangnya membantu dari segi kerjasama dan keserasian. Mereka juga berlawan pasukan yang terhebat di rantau ini sekali gus meningkatkan kemahiran mereka dalam permainan,” katanya.

Kevin juga menyasarkan kedudukan empat teratas bagi kejohanan akhir Asia Tenggara di Jakarta ini.

“Kami berharap untuk dapat top 4 dan mara ke Global Finals. Harap-harap 2 Chicken Dinners boleh diraih tapi dengan persembahan menarik tanpa Chicken Dinner sekali pun kami boleh cecah kedudukan teratas,” katanya.

Selain Yoodo Gank, dua pasukan lain yang akan bertanding ialah Victorious In Play (VIP) Squad dan Team Secret. 

Majlis pembukaan akan bermula pada jam 2 petang waktu Malaysia dan perlawanan pertama dimulakan 30 minit selepas itu. Mereka akan bermain enam peta yang dijangka berakhir pada jam 8.20 malam bagi hari ini dan juga esok.

Mereka layak ke Kejohanan PUBG Mobile Club Open (PMCO) SEA Grand Finals di Jakarta, Indonesia selepas merebut kedudukan 16 teratas dalam liga Asia Tenggara PMCO di Shanghai, China.

Artikel berkaitan: Ini dia 3 skuad layak ke Jakarta, Indonesia

Liga Asia Tenggara PMCO berlangsung selama lima minggu mengumpulkan sebanyak 24 pasukan dari Asia Tenggara iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Filipina merebut prizepool USD$26,000 (RM107,980) yang mana USD$5,000 (RM20,765) diberikan secara mingguan kepada kedudukan 6 teratas sahaja dalam carta liga.

Kejohanan SEA Grand Finals di Jakarta, Indonesia ini mempertandingkan wang tunai terkumpul RM435,000 dan akan menentukan siapa layak berentap di Grand Final diadakan di Berlin, Jerman kelak. Ketika itu mereka akan bertemu wakil dari Amerika Utara, Eropah, India dan lain-lain!

Gambar featured image: VSPN

RELATED NEWS

+