Jenama telefon pintar berkembang pesat, realme mengumumkan pelancaran global bagi peranti flagship mereka iaitu realme GT3 di Persidangan Mudah alih Sedunia (MWC) 2023 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol, semalam.
Dari segi paparan, ia dilengkapi skrin 6.7 inci AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz dan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1. Ia dilengkapi dengan tetapan tiga kamera, 50MP utama, ultra-lebar 8MP dan microscopic 2MP.
Yang menjadi tarikannya, ia juga merupakan telefon mudah alih pertama dunia dengan pengecasan pantas 240W. Ia mempunyai rekaan premium berasaskan siri GT Master.
Pengecasan terpantas 240W
Ia bukan saja pantas tapi juga kuasa pengecasan tertinggi yang pernah dihasilkan menggunakan USB-C. Hanya 80 saat diperlukan untuk mengisi 20% dari kapasiti bateri dan hanya 9 minit 30 saat untuk pengecasan penuh bateri 4,600mAh itu.
Teknologi ini juga selamat kerana iai mempunyai sistem liquid cooling dan rekaan kalis api serta 60 lapisan perlindungan keselamatan untuk ini.
Antaramuka Pulse
Selain pengecasan pantas ini, GT3 juga memperkenalkan paparan Pulse Interface yang menyalakan cahaya berbeza mengikut aktiviti peranti ini. Sebagai contoh, jika peranti ini mempunyai bateri 20%, ia akan memberi lampu merah ketika pengecasan dan lampu ungu pada kada 21% – 100%.
Ia boleh ditukar mengikut citarasa anda sendiri. Sebanyak 25 jenis lampu boleh dipilih yang mana efeknya diintegrasikan bersebelahan kamera belakang.
realme GT3 akan hadir dengan pelbagai pilihan storan dari 8+128GB, 12+256GB, 16+256GB, 16+512GB, dan yang istimewa 16+1TB. Ia boleh didapati dalam warna Putih dan Hitam.
Buat masa ini masih belum ada tarikh pelancaran di Malaysia serta harga jualan. Namun, harga saranan di peringkat global adalah AS$649 (RM2,900).