Telltale Games Mengumumkan Penutupan Studio, The Walking Dead & The Wolf Among Us 2 Dibatalkan

Satu tamparan besar terhadap industri video game.

Telltale Games, sebuah studio yang bertanggungjawab dengan penghasilan siri The Walking Dead, Minecraft, The Wolf Among Us dan banyak lagi akan melabuhkan tirainya buat selamanya.

Menurut laporan dari Variety, seramai 225 staf telah diberhentikan dan hanya meninggalkan satu krew kecil iaitu sekitar 25 orang untuk menyiapkan game interaktif khas untuk Netflix, Minecraft: Story Mode.

Berikutan penutupan besar-besaran, CEO Pete Hawley mengeluarkan kenyataan melalui akaun rasmi Telltale Games di Twitter.

Beliau berkata, “Tahun ini merupakan tahun paling mencabar buat Telltale sementara kami cuba menempa laluan baru untuk syarikat ini. Namun, masa amat mencemburi kami. Kami berjaya melancarkan beberapa kandungan terbaik tahun ini dan menerima banyak sokongan positif tapi malangnya, ini tidak mendatangkan hasil jualan. Hati kami berat apabila kami melihat rakan sekerja meninggalkan syarikat ini untuk menyebarkan jenama penceritaan kami merentasi seluruh industri video game.”

Tanpa aral melintang, berita ini benar-benar mengejutkan kami dan ini meletakkan masa hadapan beberapa game dalam proses pembangunan seperti The Walking Dead: The Final Season bagaikan telur di hujung tanduk.

Baca: Review – The Walking Dead: The Final Season Memberi Pilihan Kepada Korang Untuk Menghasilkan Finale Gempak

Bukan itu sahaja, bekas pereka naratif Telltale, Emily Grace Buck mendedahkan 90% pekerja Telltale dibuang kerja tidak menerima bayaran pampasan dan kebajikan kesihatan staf hanya bertahan untuk seminggu sahaja.

Penutupan studio akan menjejaskan proses kerja dua episod seterusnya untuk melengkapkan musim terakhir The Walking Dead. Tambahan pula, game masih lagi dalam proses pembangunan seperti The Wolf Among Us 2 dan game berdasarkan drama Netflix popular berjudul Stranger Things turut dibatalkan serta merta.

Game terbaru dari Telltale adalah The Walking Dead: The Final Season yang bakal mengeluarkan episod kedua berjudul ‘Suffer the Children’ pada hari Selasa, 25 September ini. Episod ketiga dirancang akan keluar pada 6 November manakala episod keempat terakhir akan dilancarkan pada 18 Disember.

Kini, studio ini sedang meneliti portfolio dan akan mengeluarkan komen susulan berkenaan game-game dalam senarai portfolio Telltale pada masa akan datang.

RELATED NEWS

+