“Kita Perlu Berusaha Keras Buktikan Kemampuan Dalam Industri Didominasi Lelaki,” – Peach
2020-03-09T03:26:08
By: Hazril Md Nor

“Kita Perlu Berusaha Keras Buktikan Kemampuan Dalam Industri Didominasi Lelaki,” – Peach

 

Sempena Hari Wanita Sedunia, Sze Yean (Peachism) berkongsi dengan penulis mengenai pandangannya dalam e-sukan dan bagaimana wanita memainkan peranan membangunkan industri ini bersama.

Jom ikuti temubual ini!

 

MyGameOn: Ceritakan mengenai latar belakang anda. Bagaimana anda minat pada sesuatu dan mengaplikasikannya di dalam pekerjaan?

Peach: Salah satu fakta menarik adalah saya bukannya graduan seni. Saya ambil jurusan Diploma dalam Pengiklanan dan Komunikasi Pemasaran dan Ijazah dalam Komunikasi (Perhubungan Awam dan Kewartawanan).

Pada waktu itu, tak ramai memandang tinggi pada jurusan seni jadi saya ambil pengiklanan sebab ia ada kaitan sedikit dengan seni. Saya ingin jadi animator dan sejak lapan tahun, saya sudah mula melukis.

Saya sukakan kerja-kerja kreatif sampai pada satu masa saya tengok menu makanan hanya untuk ilham dalam rekaan! Kalau dalam bidang kreatif, tak bermaksud kita perlu menjadikan Behance, Dribble atau Pinterest bagi mencari inspirasi. Ia boleh jadi apa-apa saja. Ada masanya saya akan keluar dan tak perlu tengok fon. Biarkan minda tenang dan teknik ini berkesan.

Dari semasa ke semasa, saya. juga berminat cipta kandungan. Ketika saya masih bersama Fire Dragoon, kami ada pasukan yang saling bekerjasama untuk cipta kandungan baru.

 

MGO: Ceritakan sebagai posisi baru anda sebagai Ketua Kandungan (Head of Content) di EVOS SG/MY.

Peach: Sekarang ini semuanya one man show. Saya perlu buat grafik (seperti di FB EVOS SG MY dan ViP – Victorious In Play), mengendalikan dan merancang jenis kandungan di media sosial malah perlu terbabit dalam art direction untuk photoshoot PUBGM yang mengambil masa tiga jam. Selain itu, saya perlu buat copywriting juga.

Harapan saya dan EVOS MY adalah menjadi perintis dalam bahagian kandungan. Dengan perkembangan media sosial dalam rantau ini, kami perlu bekerja keras untuk berada di atas dan pada masa sama bersaing dengan page media sosial utama EVOS juga. Disebabkan kami masih baru, kami perlu kumpulkan peminat dan faham apa yang mereka minat untuk cipta kandungan yang relevan.

Selain itu, pemain kami (EVOS) tidak selalu berada di pejabat jadi agak sukar untuk membuat content untuk mereka atau peminat. Ini sebabnya banyak perancangan perlu dibuat awal.

 

MGO: Sebagai wanita, apa halangan anda hadapi dalam bidang e-sukan?

Peach: Banyak. Contohnya ada yang kata, “awak hanya perlu kekal cantik, awak tu perempuan dan senang nak popular. Hanya tunjuk diri awak seksi, terus ramai orang kenal,”

 

MGO: Bagaimana bekerja dalam e-sukan boleh memotivasikan diri anda?

Peach: Dengan melihat generasi muda bertungkus lumus dalam industri ini sebenarnya memberikan inspirasi kepada saya. Ramai antara mereka yang underpaid tapi mereka masih tetap ingin melakukannya dan pada masa sama ingin melihat industri ini berkembang.

Juga tak dilupakan sokongan dari peminat kepada mereka secara tak langsung bantu memperluaskan pengaruh e-sukan.

 

MGO: Apa yang anda boleh katakan tentang perubahan dalam industri e-sukan terutamanya membabitkan wanita?

Peach: Pada saya, lebih ramai wanita sekarang berani bersuara dan berkongsi pengalaman dan harapan mereka untuk industri. Ia juga bagus untuk melihat mereka tak lagi ‘menyorokkan’ diri dan bangga dengan diri mereka sendiri.

Berada dalam industri didominasi lelaki bukanlah mudah tapi sekarang generasi muda lebih terbuka dan menerima penglibatan wanita dalam industri berbanding dulu.

Apa yang perlu sekarang adalah mendidik lebih ramai wanita untuk menyerlahkan diri mereka.

 

MGO: Nasihat anda kepada wanita di luar sana?

Peach: Industri ini bukannya seperti ramai orang sangkakan. Ada yang melihatnya penuh dengan daya tarikan tapi ramai tak tahu di belakang tabir; banyak kerja keras, pengorbanan dan jati diri dipertaruhkan. 

Ramai wanita yang saya kenal dalam bahagian pengurusan dan operasi. Merekalah sebahagian yang membuatkan ‘impian jadi kenyataan’. Tak mengira jantina, pengalaman dan kemahiran kita yang penting dalam pembangunan industri ini.

Jangan berhenti berharap dan percaya. Apabila anda rasa ingin berhenti, rehat sebentar dan renungkan. Apabila dah bersedia, bangkit dan mula bekerja keras! Jangan takut untuk mencuba. 

TAGS

BERITA BERKAITAN

3 days ago
PMPL: iNaoki akan bermain sebagai pemain ganti untuk Yoodo Gank
3 days ago
Permainan video berdasarkan siri Peaky Blinders akan dilancarkan pada 20 Ogos
3 days ago
HyperScape akan dilancarkan di PC, PS4, dan Xbox One pada 11 Ogos
3 days ago
State of Play akan kembali pada 7 Ogos
4 days ago
PMWL: Yoodo Gank dan Team Secret layak ke final liga dunia
5 days ago
Fiera Fendi mahu Angel Bosskurr cemerlang dalam arena kompetitif e-sukan