PUBG Mobile: “Tunggu Pengumuman 18 Julai Ini” – Daddy

Susulan daripada berita NorFarah Shahira (Miss Farr) yang keluar daripada Junior Talent, ramai yang bertanya ke mana hala tuju gadis berbakat ini selepas itu. Ditambah pula dengan satu foto yang dimuat naik di laman Facebook PUBG Mobile membuatkan ramai terfikir jika Miss Farr akan menyertai organisasi e-sukan, Bosskurr Gaming.

Sebelum ini, Bosskurr Gaming ada mengumumkan pencarian penggiat e-sukan dalam kalangan wanita memfokuskan kepada pengurusan, livestreaming dan lain-lain.

Bagi menjawab persoalan itu, pengurus Shopee Bosskurr, Nureddy Nursal (Daddy) mengumumkan dalam video penstriman langsung petang tadi menyatakan Miss Farr ada berjumpa dengan pihaknya.

“Kami ada banyak perancangan dan antaranya nak cari penggiat e-sukan wanita. Miss Farr berminat dan dia ada cakap nak main secara kompetitif kembali.

“Tapi buat masa sekarang, kami belum berada di satu tahap yang boleh membayar begitu ramai pemain untuk arena kompetitif,” katanya.

Daddy berkata, apa yang mereka boleh buat ialah memberikan pendedahan kepada Miss Far bagi bidang penstriman langsung dan dia akan berurusan dengan Fredo.

“Fredo akan guide dan bimbing dia dalam bidang ini. Tapi Miss Farr masih muda dan dia inginkan kejayaan dalam arena kompetitif.

“Kami ada perancangan untuk itu bagi bersiap sedia hadapi satu kejohanan besar pada bulan Oktober ini. Tengoklah macam mana nanti, tunggu!” katanya.

Kata Daddy, dia berharap peminat untuk menunggu dengan sabar sehingga 18 Julai (Khamis) ini bagi pengumuman rasmi kelak.

Sementara itu, Miss Farr bersama Junior Talent pernah berlawan di Shanghai, China selama lima minggu dalam liga Asia Tenggara PMCO Spring Split. 

Fredo pula sudah berehat daripada bermain Mobile Legends dan akan mengetuai skuad PUBG Mobile yang juga divisi baru bagi Bosskurr Gaming bersama Zulfikar Kene (Obot). 

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+