[Review] Mortal Shell – macam Dark Souls tapi kurang menyengat
2020-08-26T04:42:33
By: Burhanudin Zamri

[Review] Mortal Shell – macam Dark Souls tapi kurang menyengat

 

Kod ulasan PC disediakan oleh Playstack.

Industri pembangunan permainan video telah berubah dengan drastik selepas pelancaran Dark Souls kerana judul tersebut terus dijadikan standard baharu dari segi tahap kesusahan dalam permainan video.

Banyak permainan seperti Nioh, The Surge, dan Code Vein diilhamkan daripada siri Dark Souls dan Mortal Shell adalah permainan terbaru yang nampaknya mengambil banyak inspirasi daripada siri itu juga.

Seperti kebanyakkan permainan yang dibangunkan oleh FromSoftware, Mortal Shell mempunyai atmosfera yang gelap dan permainan yang agak sukar. Sebagai seorang peminat tegar karya FromSoftware, penulis sangat teruja diberikan peluang untuk membuat ulasan tentang permainan ini.

 

Sama tapi tak serupa

Mortal Shell memang layak dipanggil sebuah klon Dark Souls. Ia mempunyai ciri-ciri utama yang sering ditemui dalam permainan siri itu seperti jalan cerita yang kabur, rekaan persekitaran yang penuh perangkap, musuh-musuh yang kuat, dan semestinya permainan yang memerlukan kesabaran tinggi.

Malangnya, semua ciri-ciri yang disenaraikan di atas tidak mencapai tahap yang diharapkan. Walaupun permainan agak sukar, penulis hanya perlu menggunakan taktik yang lebih kurang sama dengan semua musuh termasuk bos untuk menewaskan mereka. Ini menjadikan pengalaman permainan agak membosankan.

Mortal Shell dibangunkan oleh Cold Symmetry, sebuah studio indie dan jelas sekali mereka mempunyai cita-cita yang tinggi untuk permainan ini tetapi kekurangan masa dan tenaga kerja sememangya menjadi satu halangan.

Judul ini hanya mempunyai empat jenis senjata tangan dan satu senjata jarak jauh yang boleh digunakan. Shell yang berfungsi ibarat kelas dalam permainan role-playing game (RPG) juga ada hanya empat jenis.

Setiap senjata dan Shell boleh ditambahbaik. Walaubagaimanapun, konsep menaikkan level tidak wujud dalam permainan ini. Penggunaan sumber Tar dan Glimpse untuk menambahbaik Shell hanya akan memperkenalkan kemahiran baharu. Untuk menaikkan damage, pemain harus menambahbaik senjata menggunakan Quenching Acid.

Sejujurnya, penulis rasa kekurangan kepelbagaian senjata dan Shell bukan satu kelemahan besar. Empat senjata dan Shell sudah mencukupi untuk memberi kebebasan dalam memilih cara permainan.

Satu mekanisme permainan unik dalam Mortal Shell ialah Hardening. Ia membenarkan pemain untuk menjadi kebal untuk beberapa saat. Kemahiran ini mempunyai cooldown yang pendek dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Antara taktik menarik yang digunakan oleh penulis ialah untuk menggunakan Hardening sebelum pukulan ketiga kombo pedang dimulakan. Apabila musuh selesai melakukan serangan, penulis melepaskan butang Hardening dan kombo tersebut bersambung dan menyakitkan musuh.

Bila digabungkan dengan kepelbagaian senjata dan kelas, mekanisma Hardening ini menjadi satu kemahiran yang boleh digunakan dalam pelbagai cara kreatif.

 

Klon bercita-cita tinggi

Dari segi jalan cerita pula, Mortal Shell memberi maklumat tentang jalan cerita utama melalui dialog bersama watak-watak lain dan penerangan item. Pada pendapat penulis, teknik penceritaan sebegini agak lemah tetapi ia tidak menjadi masalah jika permainan sahaja sudah menyeronokkan.

Seperti yang dinyatakan tadi, aspek permainan sedikit mengecewakan. Oleh itu, jalan cerita rasa seperti sebuah elemen yang tidak diberi perhatian oleh pihak pembangun.

Watak utama tidak diberikan suara tetapi lakonan suara watak-watak lain dilakukan dengan baik. Walaupun skrip jarang memberi penjelasan tentang jalan cerita, penulis rasa dialog yang dipertunjukkan tetap menarik.

Penulis dapat merasakan bahawa Cold Symmetry ingin mencipta sebuah dunia yang cantik tetapi juga menakutkan. Masalah tertimbul apabila susunan lokasi-lokasi tidak begitu kreatif. Lokasi utama yang digunakan untuk menyambung lokasi-lokasi lain ialah sebuah hutan paya yang langsung tidak menarik.

Terdapat tiga lokasi lain yang disambung ke kawasan hutan paya dan setiap lokasi perlu dikunjungi untuk mengalahkan bos dan mendapatkan item penting. Penulis menyukai kepelbagaian dari segi rekaan lokasi-lokasi lain kerana contohnya, ada lokasi yang penuh dengan salji dan lokasi lain yang penuh dengan struktur pelik.

 

Gelap… sangat gelap

Penulis tertawa apabila berbincang dengan pengulas-pengulas Mortal Shell lain dan mendapati mereka juga berpendapat judul ini kadang-kadang nampak terlalu gelap. Penulis sendiri menaikkan tahap kecerahan sedikit apabila bermain.

Selain daripada itu, tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai kualiti grafik judul ini kecuali kualiti tekstur yang nampak sedikit kabur pada beberapa watak-watak dan aspek persekitaran.

Pencahayaan dilakukan dengan baik dan empat Shell yang boleh digunakan pemain mempunyai rekaan medieval gothic yang sesuai untuk kulit album metal.

Muzik juga satu lagi kelemahan judul ini tetapi bukan kerana muzik latarnya tidak hebat. Sebenarnya Mortal Shell rasa seperti ia hampir tidak ada muzik latar!

Penulis hanya perasan kewujudan muzik latar apabila bertarung dengan musuh bos. Tambahan pula, ada beberapa pertarungan bos di mana muzik latarnya tidak begitu menarik.

 

Percubaan yang baik

Secara ringkasnya, Mortal Shell merupakan cubaan yang baik daripada Cold Symmetry untuk membuat sebuah permainan video Souls-like. Ia mempunyai resipi utama yang diperlukan untuk sebuah klon Dark Souls.

Malangnya, setiap bahan-bahan yang dimasukkan tidak mencapai tahap kualiti yang diharapkan. Semasa bermain, penulis sering rasa bosan kerana permainan dan penceritaan Mortal Shell hanya menarik pada tahap awal.

Jika anda merupakan peminat tegar karya FromSoftware seperti Dark Souls dan Bloodborne, penulis rasa anda akan suka Mortal Shell. Walaubagaimanapun, penulis tidak mencadangkan anda membeli judul ini pada harga penuh. Ia lebih berbaloi apabila diberikan diskaun.

 

SKOR AKHIR: 6/10

TAGS

BERITA BERKAITAN

3 days ago
Todak Apprentice – pasukan perintis bercita-cita tinggi
4 days ago
MPL: Team Bosskurr dalam situasi genting
4 days ago
RuneScape boleh dimain melalui Steam bermula pada 14 Oktober
4 days ago
Adidas akan mengeluarkan kasut Cyberpunk 2077
4 days ago
Football Manager 2021 akan dilancarkan untuk PC pada 24 November
5 days ago
Dapatkan kupon $10 di EGS dengan memuat turun Rocket League secara percuma