Selepas tamatnya Sukan Asia Tenggara (SEA), kini giliran Sukan Paralimpik ASEAN yang dipertandingkan di Kemboja.
Namun orang mungkin terlepas pandang dan ia tidak diberikan tumpuan seperti mana Sukan SEA yang berakhir pada 17 Mei.
Di Sukan Paralimpik ASEAN, acara e-sukan antara beberapa acara yang dipertandingkan di temasya dwitahunan ini.
Namun, acara ini hanyalah satu demonstrasi di edisi ini bermakna pingat tidak dikira di dalam jumlah pingat terkumpul.
Hanya satu permainan dimainkan iaitu Mobile Legends (MLBB) yang menjadi permainan video pertama untuk dimainkan di dalam sejarah sukan paralimpik.
Empat negara terdiri daripada Malaysia, Filipina, Thailand serta tuan rumah iaitu Kemboja.
Filipina muncul sebagai pemenang pingat emas selepas menewaskan Malaysia di Grand Final.
Kemboja turut membawa pulang pingat gangsa manakala Thailand hanya berpuas hati di kedudukan keempat.
Namun apa yang mengejutkan ramai orang apabila melihat terdapat pemain yang bermain tanpa menggunakan dua tangan.
Sebagai contoh, pemain Thailand iaitu Pongsakorn Lekthongdang menjadi tumpuan selepas bermain dengan hanya menggunakan kaki.
Ia menakjubkan di mata orang biasa kerana lazimnya orang bermain MLBB menggunakan dua tangan dan boleh dikatakan agak susah.
Namun bermain dengan hanya menggunakan kedua belah kaki sahaja menjadikannya antara bualan hangat dalam komuniti MLBB.
Bukan itu sahaja, ada juga yang bermain dengan menggunakan satu tangan.
@sircloudmy Handcam Atlet Para Malaysia. RESPECT! #DemiMalaysia #MalaysiaBoleh #2023ASEANParaGames #KakiGaming #MLBB #MobileLegends #MobileLegendsBangBang @Niel Wan N’ @mplmy @Mobile Legends Malaysia @Paralympic Council of Malaysia ♬ original sound – Sir_Cloud
Pemain Malaysia, Danial Danish merupakan atlet negara yang bermain di dalam acara ini dan dia merupakan antara beberapa pemain yang bermain dengan menggunakan satu tangan sahaja.
Ada juga yang bermain tanpa jari, tanpa tangan dan hanya menggunakan lutut untuk memegang telefon bimbit dan pelbagai lagi cara.
Mereka sangat gembira dapat bermain di atas pentas seperti mana pemain-pemain profesional lakukan selama ini.
Ketika perlawanan berlangsung, ramai penyokong datang memberi sokongan kepada pemain yang bermain untuk acara ini.
Bukan itu sahaja, detik bersejarah ini membuka banyak mata mengenai atlet paralimpik terutamanya dalam komuniti e-sukan sendiri.
Mungkin bagi manusia yang sihat tubuh badan, ini perkara yang normal namun ia bukan senang untuk orang kurang upaya (OKU) untuk bermain permainan video.
Sudah semestinya, ini merupakan detik permulaan bagi acara ini dan sudah semestinya ia akan berkembang dengan lebih besar pada edisi akan datang.
Foto dan Video: DJY, Sir Cloud, MLBB Esports