Dari permainan tradisional ke permainan digital, industri video game semakin berkembang dan rancak diperkatakan dalam kalangan pemain di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia. Meskipun wujudnya industri video game berskala besar ini, industri video game bersama e-sukan masih dipandang enteng oleh sesetengah pihak di Malaysia.
Semasa berlangsungnya #mydigitalmaker Fair 2018 pada Sabtu dan Ahad lepas, kami meluangkan sedikit masa bersama CEO dan pengarah game Metronomik, Wan Hazmer Wan Abdul Halim dan CEO Kitamen, Hazman Hassan untuk bertanyakan soalan berkenaan potensi besar industri pembangunan video game dan e-sukan di Malaysia.
Inilah tiga sebab utama kenapa korang kena beri perhatian terhadap industri video game dan e-sukan tempatan kita:
1. Imej industri pembangunan video game dan e-sukan harus diperbetulkan
Ia memang tidak dapat disangkal lagi bahawa industri video game merupakan salah satu industri paling pesat membangun pada masa kini sehingga mampu mencecah USD$235 bilion pada tahun 2022 iaitu lebih tinggi berbanding industri filem dan muzik antarabangsa. Industri e-sukan juga tidak lebih kurangnya dengan menjana pendapatan lumayan USD1.6 bilion pada tahun 2020.
Walaubagaimanapun, Wan Hazmer mengutarakan pandangan ketara antara kedua-dua industri gergasi ini. Beliau berkata, “Di peringkat antarabangsa, industri video game sudah lama mengatasi pendapatan industri Hollywood sejak tahun 2008 tetapi video game masih lagi menerima tanggapan buruk di mata kebanyakkan ibu bapa tak kira di luar negara mahupun di sini.”
Oleh itu, beliau mahu memperbaiki tanggapan negatif secepat mungkin dan menyeru kerjasama semua pembangun video game untuk menghasilkan imej video game lebih bagus di mata masyarakat.
Menurut Hazman, #mydigitalmaker Fair 2018 menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah betul iaitu negara yang melahirkan tenaga kerja cekap dalam teknologi digital. Kagum akan bakat kreatif anak-anak muda, pengasas syarikat e-sukan Kitamen turut menyentuh isu panas terhadap tahap kesedaran masih lagi rendah dalam kalangan orang Malaysia akan video game unik seperti Sara is Missing dan WarPods yang dibangunkan oleh studio video game tempatan.
2. Ramai pembangun video game dan atlit e-sukan berbakat tapi tiada hala tuju pasti
Sebagai seorang yang pernah mengalas jawatan lead game designer di studio video game terbesar, Square Enix untuk Final Fantasy XV, Wan Hazmer memberitahu kepada MyGameOn bahawa ada ramai pembangun video game berbakat di Malaysia tetapi mereka tidak mengenal arah pasti untuk menghasilkan video game yang mampu mencerminkan identiti dan budaya Malaysia untuk pasaran luar negara.
Walaupun negara kita terkenal dengan outsourcing iaitu studio game tempatan menawarkan servis bagi membantu produksi pembangunan game triple A seperti Uncharted 4: A Thief’s End (Passion Republic & Lemon Sky), Final Fantasy XV dan Street Fighter V (Streamline Studios), outsourcing ini memberi laluan kepada pembangun game mengasah bakat mereka.
Secara langsung, studio-studio ini dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang pembangunan video game melalui outsourcing. Daripada hasil outsourcing ini, terdapat studio tempatan dapat menghasilkan IP asal mereka tersendiri seperti Nightstream, sebuah game mobile endless runner dari Streamline Games.
Berbekalkan 10 tahun pengalaman dalam pembangunan video game, Wan Hazmer berkata, “Bagi menghasilkan IP asal setaraf dengan game antarabangsa seperti God of War, ia memerlukan lebih daripada sekadar mekanik gameplay menarik atau dilancarkan secara percuma di Android dan iOS. Apa yang menghalang kita daripada menghasilkan game yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa adalah ketiadaan hubungan atau penyampaian budaya dan identiti sebenar Malaysia yang dapat ditonjolkan dalam sesebuah game.”
Hazman juga berkongsi pendapat sama terhadap industri e-sukan negara yang berhadapan dengan dilema kekurangan arah sebenar di Malaysia.
“Kita mempunyai ramai atlit e-sukan berbakat kelahiran Malaysia tetapi ramai daripada mereka berhijrah ke luar negara dan bermain untuk organisasi e-sukan luar negara,” kata Hazman sambil memberi contoh atlit e-sukan Dota 2, Yap “xNova” Jian Wei dari pasukan PSG.LGD yang berjaya membawa pulang hadiah RM16.8 juta di kejohanan tahunan The International 2018.
Beliau menambah antara sebab utama atlit e-sukan Malaysia terpaksa ke negara luar dan sertai pasukan luar negara adalah kerana kekurangan sokongan dan bantuan dari badan atau pihak yang sepatutnya menyediakan tempat sewajarnya untuk atlit e-sukan tempatan terus bermain di negara sendiri.
3. Mampukah seseorang dapat menyara diri dalam industri pembangunan video game dan e-sukan?
Apabila ditanyakan soalan ini kepada Wan Hazmer dan Hazman, kedua-dua mereka pantas membalas, “Ya, korang mampu menyara diri melalui kedua-dua industri ini.”
Menurut Hazman, peranan Kitamen sebagai sebuah syarikat yang menjayakan pelbagai acara e-sukan dan mempromosikan #HealthyGaming di seluruh pelusuk Malaysia bukanlah semudah menawarkan caj servis kepada konsol-konsol dan game untuk dimainkan di liga atau acara gaming. Malahan, kejayaan Kitamen yang kita lihat pada hari ini adalah usaha penglibatan syarikat ini bersama-sama akar umbi industri e-sukan iaitu peminat dan pemain profesional e-sukan.
Dari segi pemain profesional pula, beliau mengulas atlit e-sukan haruslah berusaha sama seperti atlit sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei untuk menjana pendapatan. “Mereka harus mengambil masa bertahun-tahun untuk berlatih dan memerlukan sokongan keluarga dan juga kerajaan supaya mereka dapat mempamerkan aksi permainan terbaik dalam liga e-sukan,” ujar Hazman.
Selepas lama bertapak di Jepun, Wan Hazmer bersama sepupu Daim Dziauddin yang pernah bekerja sebagai pelukis konsep (concept artist) untuk Street Fighter V, pulang ke tanah air untuk membuka sebuah studio game, Metronomik. Kini, Metronomik sedang membangunkan sebuah game ritma aksi berjudul No Straight Roads yang baru sahaja ditonjolkan di Tokyo Game Show 2018.
Dalam penghasilan video game, pengarah No Straight Roads kata industri pembangunan video game tidaklah jauh panggang dari api berbanding industri-industri besar lain. Beliau berkata industri pembangunan video game ini memerlukan kolaborasi ramai pihak tak kiralah sama ada dari segi pengurusan dan kreatif.
“Video game adalah satu produk yang sangat kompleks kerana ia menggabungkan elemen permainan interaktif bersama-sama audio dan visual secara menyeluruh. Oleh kerana itu, terdapat banyak peluang pekerjaan wujud dalam industri pembangunan video game seperti penyunting video untuk pemasaran, akauntan untuk pengurusan kewangan, artis untuk melakar karakter dan banyak lagi. Pembangunan video game di Malaysia kini lebih kukuh dengan sokongan padu dari Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan kerajaan. Lebih-lebih lagi, terdapat banyak perisian pembangunan video game tersedia online sekarang,” kata beliau.