Pemilik bersama Blacklist International, Alodia Gosiengfiao tidak menganggap serius insiden akaun Instagram pasukan itu yang ‘hilang’ akibat dakwaan diserang netizen Indonesia.
Sebaliknya, beliau rasa terkejut dengan warga Indonesia yang bersama-sama membincangkan isu itu di media sosial.
“Tapi secara peribadinya, saya sebenarnya okay saja dan tak terasa hati.
“Kami pun sedang mendapatkannya kembali. Ada juga netizen Indonesia yang memberi sokongan dengan mengharapkan akaun itu boleh didapatkan kembali,” katanya dalam satu temubual media sebentar tadi.
Insiden sebelum ini menyaksikan perlawanan di antara Blacklist International dan RRQ Hoshi di Kejohanan Jemputan Liga Profesional Mobile Legends (MPLI) 2021 mengundang kemarahan segelintir individu selepas mereka tewas dengan skor 1-2.
Terdapat segelintir dari individu tak bertanggungjawab membuat komen provokasi di akaun Instagram Blacklist International dan mereka turut melaporkan akaun itu untuk disekat oleh pihak Instagram.
Hasilnya, Instagram Blacklist International tidak dapat diakses oleh kerana laporan palsu yang bertubi-tubi dihantar oleh kelompok itu.
Pengasas RRQ Andrian Pauline berkata, provokasi dicetuskan oleh individu tidak bertanggungjawab malah ia memburukkan nama pasukan RRQ itu sendiri.
“Penyokong sejati RRQ Hoshi tidak akan berbuat begitu. Mereka akan tetap menyokong pasukan ini walaupun kalah atau menang. Mereka tidak akan membuat perkara yang mendatangkan keburukan kepada pasukan disokong mereka,” tambah beliau.