Intel memperkukuh kilang di Malaysia tetapi memberi amaran ketandusan cip sehingga 2023

Stok komponen elektronik kini menjadi salah satu daripada sumber yang amat jarang, dan ketandusan ini sudah memberi impak kepada beberapa industri seperti industri komputer, permainan video, malah industri kenderaan juga terkesan oleh ketandusan cip ini.

Ia dilaporkan akan berterusan sehingga tahun 2023, menurut Pat Gelsinger, CEO Intel.

Intel dilaporkan sedang memperkukuh kilang di Malaysia dengan mengumumkan pelaburan RM30 bilion untuk mengembangkan keupayaan pembuatan dan barisan pembungkusan termaju di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. Gelsinger menjangkakan langkah itu akan mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan baharu.

Walaupun usaha ini dibuat untuk menangani ketandusan stok di seluruh dunia, pembangunan besar seperti ini akan memakan masa agak lama. Gelsinger menyatakan ia mungkin akan mengambil sekitar 3 tahun untuk melihat hasil perkembangan ini.

Bagi membantu perkembangan ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali menyatakan kepada Gelsinger, “Saya memberi jaminan kepada Pat Gelsinger bahawa tidak akan ada lagi PKP, hanya yang disasarkan.”

Azmin juga menyatakan bahawa rantaian bekalan tidak terputus semasa dalam usaha negara melawan pandemik ini.

Dalam kata lain, bekalan komponen masih dalam tahap kekurangan dan mungkin akan kekal begitu untuk seketika.

Intel, AMD dan Nvidia bersedia untuk mengumumkan barisan produk baharu utama dalam ruang permainan PC tahun depan, jadi kita perlu melihat bagaimana mereka boleh menghadapi pelbagai masalah yang berterusan ini.

Sumber rujukan: Nikkei Asia

RELATED NEWS

+