Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sempat mengadakan lawatan beliau ke playoffs liga MPL MY musim kelapan semalam.
Pihak media dijemput dalam sesi sidang media untuk bertanyakan nasib e-sukan di dalam belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini.
Beliau berkata bajet untuk tahun 2022 bagi e-sukan tidak begitu besar oleh kerana kerajaan harus fokus untuk memperuntukkan bajet kepada negara yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Namun begitu, pihak e-sukan tidak perlu bimbang kerana kami sebagai kerajaan akan masih menyokong pembangunan e-sukan di dalam negara ini,” katanya.
Tambahnya lagi e-sukan boleh berkembang dengan sendiri dan ramai pemain mempunyai latar belakang berbeza boleh berjaya melalui platform ini.
“Walaupun kami ada menyatakan peruntukan untuk e-sukan ini ada namun tidak ada jumlah yang khusus untuk diperuntukkan. Apa yang pasti, ianya tidak berkurang atau bertambah dari peruntukan sebelum ini,” tambah beliau.
Foto: Harian Metro, Sumber: BERNAMA