M1: “Saya Bangga Dengan Mereka,” – Pengurus Todak, Ashi

Kalah menang adat perlawanan. Berada di kedudukan tiga terbaik dunia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan buat pasukan Mobile Legends negara, Todak biarpun tewas 1-3 berdepan skuad gergasi Indonesia, RRQ di Kejohanan Dunia Mobile Legends, M1 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Todak diwakili Lychee, Nenas, Moon, Xray, Eone dan Ciku. Mereka membawa pulang wang tunai RM83,000 di tempat ketiga.

Pengurus Todak, Ashi atau nama sebenarnya Mohd Syazlan Mohd Rosdi menganggap ini adalah pencapaian luar biasa buat pasukan kendaliannya itu.

“Latihan mereka, pengorbanan mereka dan kudrat diberikan mereka selama ini membuahkan hasil. Bukan senang untuk dapat masuk M1. Saya sebagai pengurus rasa syukur Alhamdulillah dengan pencapaian mereka.

“Saya berbangga dan rasa mereka memang boleh pergi jauh dalam arena kompetitif,” kata Ashi.

Ashi juga mengatakan walau semua ada lahirkan rasa kecewa selepas menerima kekalahan tadi namun mereka tetap positif.

“Saya boleh nampak mereka kecewa kerana tak dapat ke Grand Final tapi mahu tak mahu, mereka kena bangga dengan diri sendiri untuk sampai ke tahap ini.

“Saya percaya mereka boleh buat lebih baik selepas ini. Lagipun, dengan lineup yang hanya diasaskan sejak kelayakan MPL MY s4, ini adalah satu pencapaian membanggakan,” kata Ashi. 

Sebagai pengurus, Ashi berharap ahli pasukan ini jangan rasa terlalu selesa biarpun sudah membuktikan kebolehan Malaysia di peringkat dunia kerana banyak lagi cabaran menanti.

“Sebaliknya mereka harus cuba lakukan yang terbaik. Seharapnya rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan dorongan menyokong semua pasukan Malaysia yang benar-benar nak main dalam arena kompetitif e-sukan,” katanya mengakhiri perbualan.

Kejohanan Dunia Mobile Legends, M1 bermula sejak Isnin lalu bagi pusingan kelayakan, mengumpulkan 16 pasukan terbaik dunia bertarung merebut hadiah terkumpul RM1 juta.

Acara utama dimulakan pada Jumaat hingga hari ini menyaksikan lapan pasukan ke playoffs berentap. Jangan lupa saksikan Grand Final antara dua gergasi Indonesia, EVOS Legends dan RRQ sebentar nanti.

RELATED NEWS

+