Wakil Malaysia ke kejohanan PVP Esports Campus Championship, UiTM Vendetta dari UiTM Shah Alam sudah pun bersedia untuk menghadapi perlawanan pada hari ini.
Mereka diwakili oleh:
- Muhammad Nabil Japri (King Abey) – Kapten
- Muhammad Badrun Ahmad Puad (King Badd)
- Danish Haziq Azrul Yussaini (King Deft)
- Aliff Nasir (King Dead)
- Muhammad Amirul Iqmal Rosma (King Coca)
- Muhammad Zulhafiz Md Yusuf (King White)
Kapten pasukan, Muhammad Nabil rasa bersyukur dapat membawa harapan universiti dan nama negara di peringkat Asia Tenggara. Sebelum ini, mereka layak apabila menjuarai Yoodo Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 3 (#YoodoKEK) yang diadakan baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur pasukan kami dapat harungi sampai ke peringkat ini.
“Sebelum sampai ke Grand Final KEK 3, kami tewas dua edisi sebelumnya. Tapi untuk edisi ketiga ini, saya rekrut ahli baru dan kami ‘sekepala’.
“Walaupun ada yang berbeza fakulti dan jurusan, kami boleh bermain dan berlatih sama dengan baik,” kata Nabil.
Kata Nabil, kali ini ada pemain keenam iaitu Zulhafiz yang menjadi penganalisa buat pasukan mereka.
“Saya rasa teruja dan berbangga untuk mewakili negara kerana akhirnya nampak yang main game ni bukanlah aktiviti sia-sia.
“Kejohanan anjuran Singtel (PVP Esports) ini juga membuka mata pihak universiti untuk memandang e-sukan sebagai satu landasan yang kompetitif dan platform baik untuk mahasiswa menonjolkan bakat,” kata Nabil.
Kalau dulu selalu berlatih di restoran mamak untuk dapatkan sambungan Internet yang bagus, kali ini pihak UiTM sudah mula membekalkan kemudahan kepada pemain untuk berlatih.
“Akan ada tempat latihan tak lama lagi menerusi inisiatif kelab e-sukan. Kami juga menerima elaun dari pihak universiti untuk menyertai kejohanan.
“Insya-Allah kami akan buat yang terbaik kali ini demi semua orang,” katanya.
Menceritakan pembahagian masa antara bermain game dan belajar, ia tidak begitu sukar kerana mereka hanya berlatih pada sebelah malam.
“Waktu siang memang diperuntukkan untuk tujuan belajar dan menghadiri kuliah.
“Kami hanya berlatih pada jam 10 malam dan ke atas apabila semua pemain sudah menyiapkan tugasan masing-masing,” katanya.
Nabil juga beranggapan pelajaran masih utama kerana sebagai mahasiswa, karier sebagai atlet e-sukan hanya dilakukan secara separuh masa.
Artikel berkaitan: PVP Esports Campus Championship akan bermula hari ini.
Jangan lupa saksikan live di Facebook My Game On pada jam 6:45 petang nanti.
Kem latihan di Eastin Hotel Kuala Lumpur
Selama empat hari tiga malam, pasukan UiTM Vendetta berada di Eastin Hotel Kuala Lumpur untuk berlatih menghadapi kejohanan ini.
Selain menyediakan bilik khas untuk tujuan latihan, pemain UiTM Vendetta juga diberi peluang menjamu selera pada waktu pagi, petang dan malam. Mereka juga diberikan bilik untuk beristirehat sepanjang tiga hari berada di sini.
Terima kasih Eastin Hotel Kuala Lumpur kerana memberi peluang kepada atlet-atlet Malaysia melakukan persiapan rapi sebelum kejohanan PVP Esports Campus Championship!