Pemenang U Mobile Mobile Legends Campus Championship diumumkan

Tahun ketiga penganjuran Mobile Legends Campus Championship yang dibawa khas oleh U Mobile mendapat sambutan yang sangat memberansangkan dengan slot kejohanan bagi Zon Tengah (Wilayah Persekutuan dan Selangor) dan Selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) berjaya dipenuhi hanya beberapa hari selepas pendaftaran dibuka.

Kejohanan UMMLCC Musim ke-3 ialah kesinambungan daripada dua musim yang berjaya dianjurkan sejak 2019, dan merupakan anjuran khas untuk pelajar universiti mengasah bakat, meningkatkan kemahiran dan mengembangkan minat mereka dalam arena e-sukan.

Setakat ini sebanyak 177 pasukan dari 75 universiti telah mengesahkan penyertaan dengan pendaftaran masih dibuka bagi 9 Negeri dan 4 zon Sekolah Menengah. 

Musim ini, kejohanan diselaraskan semula dengan membuka kategori Kampus dan Sekolah Menengah di mana Zon Tengah menjadi zon pertama yang bermain, diikuti Zon Selatan, Utara, Pantai Timur dan Malaysia Timur. 

Juara Zon Tengah dan Zon Selatan Dinobat

Bagi Zon Tengah, tempat pertama telah dirangkul oleh pasukan XTINCT sebagai Juara negeri Selangor dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pasukan ASTRAZANECA sebagai Juara Wilayah Persekutuan dari UiTM Kampus Selayang dengan masing-masing membawa pulang RM1,350 dan 600 berlian.

Manakala, tempat kedua dimenangi oleh pasukan RUSUH dari Politeknik Sultan Idris Shah Selangor dan pasukan INCOGNITO dari Universiti Teknologi Malaysia KL yang membawa pulang RM650 dan 450 berlian.

Bagi Zon Selatan, Negeri Sembilan menyaksikan gelaran juara diterima oleh TFK Limit dari UiTM Rembau dan tempat kedua disandang oleh pasukan Skadoosh dari Politeknik Port Dickson.

Juara Melaka dinobatkan kepada pasukan UTEM H dari Universiti Teknikal Malaysia dan tempat kedua UTEM A dari universiti yang sama. Manakala Johor, pasukan Don’t Forget Joki dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dinobatkan juara dan PIS Pride X AG Tech dari Politeknik Ibrahim Sultan dinobat tempat kedua.

 

Semua Juara Negeri telah mendapat tempat untuk Kejuaraan Nasional manakala pasukan yang mendapat tempat kedua akan dipertandingkan sekali lagi melalui kejohanan Wildcard untuk memberi mereka peluang memperolehi slot di Kejuaraan Nasional.

Anugerah Universiti Terbaik (U Mobile University Awards) 2021 Diperkenalkan

Sempena UMMLCC Musim Ke-3, U Mobile julung kali melancarkan program ‘U Mobile University Awards 2021, untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada universiti dan kakitangan kampus yang turut membantu mempromosikan kejohanan ini dan memberi sokongan kepada pelajar semasa bertanding.

Program ini akan berlangsung daripada Mei hingga November ini. 

Anugerah ini mempunyai dua kategori iaitu Penyokong Universiti Terbaik dan Penyokong Pegawai Terbaik. Satu universiti dari setiap zon akan berpeluang untuk memenangi kategori tersebut. 

Bagi universiti yang berminat sila kunjungi U Mobile MCC Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut.

U Mobile juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pengetahuan dalam arena e-sukan mereka ke tahap seterusnya dengan menyertai bengkel Masterclass eSport.

Bengkel ini akan dikendalikan oleh pengulas selebriti seperti Ikuto dan Karakuri, dan pelajar dinasihatkan untuk daftar segera kerana slot adalah terhad. Pendaftaran adalah percuma kepada pelajar universiti seluruh Malaysia. Pengguna U Mobile akan diberikan hadiah khas setelah berjaya mendaftar slot tersebut. Borang pendaftaran.

Peringkat awal kejohanan telah pun berlangsung dengan sambutan yang menggalakkan, dengan kejohanan akan menuju ke Utara diikuti ke Pantai Timur dan seterusnya Malaysia Timur. 

Untuk mengetahui maklumat terkini, jangan lupa ikuti kejohanan secara langsung di Laman Facebook U Mobile MLCC.

RELATED NEWS

+