Gadis Ini Handal Main PUBG, Layak Ke Kejohanan PUBG Mobile Di Shanghai, China

Siapa sangka, main game dekat telefon pun dah boleh membuatkan seorang gadis berusaha mengejar impian sebagai pemain PUBG Mobile terbaik di Malaysia.

Nama NorFarah Shahira Mohd Nizam mungkin tak berapa dikenali oleh umum tapi gadis berusia 22 tahun ini bukan saja dikenali dalam komuniti PUBG Mobile di Malaysia, malah namanya sering disebut-sebut selepas mendapat tempat ketiga di kejohanan PUBG Mobile Club Open Malaysia Finals sebentar tadi.

Beliau yang juga ahli kumpulan Junior Talent berganding bahu bersama Mohamad Nazeri Shahrin Affan, 20, Mohamad Harith Iskandar Badrul Hisham, 19, Muhammad Fikri Adli Md Nizam dan Izzat Abdul Aziz, 19 berjaya membawa pulang wang tunai RM4,900. Menariknya, NorFarah atau lebih dikenali sebagai Missfarr adalah satu-satunya gadis dalam pasukan itu. Pasukan Junior Talent diurus oleh The Gaming Co dan Mobile Gaming Co.

Ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, Missfarr menceritakan pengalamannya bermain PUBG Mobile kepada penulis.

“Saya bermula main game online sejak usia 8 tahun. Masa itu, saya cuba main Counter-Strike

“Ketika menginjak usia 21 tahun, saya mula serius dalam arena kompetitif. Saya mula masuk pertandingan PUBG Mobile sebab nampak e-sukan ini boleh dijadikan punca pendapatan.

“Pada mulanya join tournament kecil-kecilan dan banyak kali juga jadi juara sebelum pertandingan SUKMA Perak yang betul-betul membuka mata saya tentang potensi dalam e-sukan ini,” 

Bersama Junior Talent

Missfarr (paling kanan) bersama ahli kumpulannya, Junior Talent

Missfarr menyambung, skuad Junior Talent ini baru saja ditubuhkan bulan lalu dan mereka sudah menyertai empat pertandingan di mana kejohanan paling berprestij mereka pernah sertai ialah EPIC Perak dan menjadi naib juara.

Sebagai seorang gadis, beliau sentiasa tidak terlepas dari stigma mengatakan wanita tidak handal bermain game dan patut ceburkan diri dalam bidang lain.

“Tipulah kalau tiada jatuh bangun dalam karier ini. Pada awalnya, memang susah juga saya nak biasakan diri dalam kumpulan didominasi lelaki. 

“Tapi Alhamdulillah, ahli kumpulan saya selalu ajak berlatih bersama dan tak pernah perlekehkan kemahiran saya. Berbeza dengan permainan lain, PUBG Mobile ini sebenarnya ramai pemain wanita. Jadi kalau saya tak mulakan (tunjuk contoh), bila lagi?,”

Tidak gentar dengan cabaran, gadis ini selalu menerima sokongan daripada netizen dan ahli kumpulannya.

“Berbeza berbanding dulu, sekarang lebih ramai yang menyokong dan tak mempersoalkan kenapa saya bermain secara kompetitif malah ahli kumpulan juga sentiasa beri semangat kepada saya.

“Memang adakalanya saya akan down tapi mereka cuba faham macam mana untuk bawa berbincang dan betulkan keadaan. Boleh kata yang mereka memang faham untuk melayan karenah seorang gadis,”

Dapat sokongan ibu bapa

Kata Missfarr, pada mulanya ibu dan ayahnya melihat hobi ini membuang masa dan tak boleh pergi jauh.

“Bukan saja kena marah tapi juga mereka kata ia membuang masa dan sebagainya. Tapi saya tetap nekad dan buktikan kepada mereka sebaliknya dengan menyertai lebih banyak pertandingan dan cuba jadi yang terbaik.

“Selepas menang tadi, mak terus call. Mengalir air mata mak apabila dapat tahu saya layak pergi ke Shanghai, China.

“Sebelum bertanding, mak ada bagi kata-kata semangat. Alhamdulillah, saya buat semua ini bukan untuk diri sendiri tapi untuk keluarga saya,”

Gadis yang berasal dari Melaka ini menasihatkan kepada gadis di luar sana yang ingin menceburi dalam bidang e-sukan perlulah cekal hati.

“Kalau ada kemahuan tu, teruskan je. Kalau minat, ambil nasihat keluarga dan buat yang terbaik.

“Walaupun kita ni perempuan, kena yakin dan terus kejar impian tanpa perlu fikir apa orang nak kata,”

PUBG Mobile Club Open Malaysia Finals dianjurkan oleh VSPN dengan kerjasama Mineski Events Team (MET) Malaysia dan disokong oleh Tencent.

Bagi yang tak dapat usha livestream atau saksikan secara langsung di Quill City Mall hari ini, korang boleh ke Facebook PUBG Mobile  bagi menonton tayangan ulangan di sana.

Baca lanjut: Genexsus juara PUBG Mobile Club Open Malaysia Finals

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+