Hala tuju Yoodo dalam e-sukan – ikuti perkongsian bersama Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun
2021-02-08T06:23:23
By: Burhanudin Zamri

Hala tuju Yoodo dalam e-sukan – ikuti perkongsian bersama Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun

 

Yoodo antara syarikat telekomunikasi yang bergerak aktif dalam e-sukan. Bermula dari menaja pasukan profesional Yoodo Gank hinggalah menaja kejohanan MLBB seperti MPL MY, M3 dan lain-lain, nyata Yoodo serius ingin memberi impak positif terhadap industri ini.

Ikuti temubual penulis bersama Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun mengenai pencapaian dan hala tuju Yoodo dalam e-sukan.

 

MyGameOn: Pada tahun lepas, Yoodo telah menjadi penaja pasukan Geek Fam. Yoodo juga memainkan peranan sebagai syarikat telekomunikasi rasmi Liga Profesional MLBB MY/SG (MPL MY/SG) Musim 6. Adakah Yoodo merancang untuk menaja lebih banyak pasukan dan kejohanan pada tahun ini?

Sebagai penyokong serius industri e-sukan di Malaysia, Yoodo sentiasa mencari peluang untuk membangunkan industri tempatan bersama pasukan-pasukan dan kejohanan-kejohanan di luar sana. Baru-baru ini kami mengumumkan penerusan kerjasama bersama Moonton dan kerjasama baharu bersama RSG MY untuk membangunkan dua pasukan baharu – Yoodo RSG MLBB dan Yoodo RSG COD. Ini hanya permulaan untuk perancangan kami pada tahun ini.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan e-sukan tempatan dalam tempoh beberapa tahun lepas semestinya mengetahui bahawa kami sangat aktif dalam industri ini. Dari menaja PUBG Mobile National Championship (PMNC) 2018 – 2020, bekerjasama dengan Tencent untuk PUBG Mobile Campus Championship (PMCC) 2019 dan 2020, hingga melancarkan kejohanan kami sendiri iaitu Yoodo Stay At Home Cup 2020 – kami komited terhadap usaha untuk memeriahkan lagi arena e-sukan tanah air.

 

MGO: Yoodo telah memainkan peranan yang aktif dalam industri e-sukan Malaysia sejak 2018 apabila mengambil alih sebuah pasukan PUBG Mobile. Bagaimana perkembangan e-sukan sejak titik permulaan tersebut dan bagaimana pula dengan perkembangan pada masa depan?

Industri e-sukan di Malaysia memang berkembang pada kadar yang konsisten. Pada tahun 2018, terdapat laporan yang menyatakan industri e-sukan tanah air akan menyumbang hampir RM500 juta terhadap hasil ekonomi negara Malaysia. Terdapat juga sebuah ramalan yang dibuat oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) yang meramalkan bahawa industri ini akan terus berkembang dan mencapai jumlah pasaran bernilai RM700 juta pada tahun 2023.

Kita dapat melihat perkembangan tahunan melalui penubuhan pasukan e-sukan baharu, kejohanan baharu, atau peningkatan bilangan livestreamer e-sukan. E-sukan juga terus berkembang pesat walaupun kita terpaksa memperlahankan kehidupan pada tahun lepas akibat pandemik COVID-19. Mungkin situasi ini wujud kerana industri ini bersifat digital – satu persamaan yang dikongsi oleh Yoodo dan e-sukan.

Masa depan e-sukan di Malaysia kelihatan cerah. Pandemik ini tidak menjadi halangan untuk aktiviti-aktiviti e-sukan kerana kita dapat melihat pasukan-pasukan baharu ditubuh dan lebih banyak syarikat dan pertubuhan yang melabur dalam kejohanan-kejohanan e-sukan. Satu lagi petunjuk baik untuk industri ini ialah RM15 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan dalam Bajet 2021 untuk e-sukan. Peruntukkan ini akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti-aktiviti e-sukan tempatan.

Yoodo percaya komuniti e-sukan bukan sahaja perlu disokong melalui wang ringgit. Terdapat lebih daripada 20 juta pemain kasual dan hardcore di Malaysia dan peningkatan populariti e-sukan membantu komuniti ini untuk terus berkembang. Walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran pada tahun lepas, e-sukan masih berkembang maju dan Yoodo akan terus membangunkan dan menyokong komuniti e-sukan di Malaysia.

 

MGO: Apabila memerhatikan landskap terkini e-sukan Malaysia, apakah yang membezakan Yoodo daripada penaja-penaja dan pertubuhan lain di negara ini?

Yoodo sangat berminat dengan gaming dan e-sukan – saya sendiri kadang-kadang main PUBG Mobile untuk mengurangkan stres! Yoodo ingin menghubungkan peminat e-sukan di Malaysia melalui permainan mudah alih kegemaran mereka atau bakat-bakat e-sukan kegemaran mereka, bermula dari tahap akar umbi. Kami melakukan semua ini dengan niat ikhlas untuk mencari bakat-bakat tempatan dan memberikan mereka platform untuk menyerlahkan diri, dan peminat gaming menyukai aktiviti sebegini.

Kami memberi jaminan kepada anda bahawa kami akan terus memperjuangkan bakat tempatan dengan inisiatif-inisiatif e-sukan yang konsisten dan sejajar dengan garis panduan kami:

  • Menghubungkan pengguna dengan permainan kegemaran mereka
  • Membina komuniti
  • Mencipta kandungan untuk semua peminat e-sukan
  • Bekerjasama dengan penerbit, pasukan, dan pertubuhan permainan e-sukan untuk inisiatif yang menyeronokkan
  • Mewujudkan budaya e-sukan yang unik di Malaysi

 

MGO: Selain daripada menaja pasukan dan kejohanan, adakah Yoodo merancang untuk menyokong aspek-aspek lain dalam ekosistem e-sukan seperti livestreaming?

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Yoodo memberi fokus terhadap mencari dan menggilap bakat-bakat tempatan dalam semua segmen termasuk e-sukan.

Pada tahun lepas, kami melancarkan PMCC 2020 dan kami juga melancarkan sebuah pertandingan istimewa Caster Search – sebuah platform yang menjemput pengulas amatur untuk mengulaskan perlawanan-perlawanan sebagai satu usaha untuk membantu mereka mendapatkan perhatian lebih ramai penonton dan meningkatkan bilangan pengikut mereka. Pasukan-pasukan yang disokong oleh Yoodo juga mengadakan livestream untuk mengeratkan hubungan bersama para peminat. Yoodo juga memberi peluang kepada livestreamers baharu untuk menyerlahkan diri dengan memberikan mereka platform untuk livestream di Yoodo Esports – laman Facebook kami yang ditubuhkan khas untuk e-sukan.

Yoodo ingin menjadi daya penggerak dalam komuniti e-sukan dan kami akan meneruskan usaha-usaha dalam membantu komuniti ini dalam semua aspek.

 

MGO: Apakah motivasi untuk Yoodo menceburi e-sukan pada masa dahulu dan apakah matlamat dan sasaran yang ingin dicapai?

Semasa Yoodo pertama dipertubuhkan pada 2018, kami telah mengenal pasti e-sukan sebagai salah satu segmen sasaran utama, dalam kalangan sasaran-sasaran lain yang kami telah mengemas kini – sukan aktif, muzik dan hiburan, K-pop, dan gaya hidup kampus. E-sukan sangat penting bagi kami kerana kami menemui bahawa terdapat banyak peluang untuk berhubung dengan peminat e-sukan melalui permainan-permainan kegemaran mereka.

Perjalanan kami sejak titik permulaan itu telah membuahkan hasil dengan memperkenalkan pelbagai kejohanan e-sukan dan mengeratkan hubungan bakat-bakat e-sukan bersama para peminat mereka. Kami memang berhasrat untuk menjadi syarikat telekomunikasi pilihan nombor satu untuk gamers di Malaysia dan saya rasa kami telah mencapai sasaran tersebut dengan jayanya. Pada masa depan, kami berharap untuk meningkatkan lagi penglibatan kami dalam komuniti e-sukan dan memeriahkan lagi suasana untuk semua peminat e-sukan. Kami mahu membantu industri e-sukan di Malaysia terus membangun dan berkembang.

 

MGO: Apakah perancangan Yoodo pada tahun ini dan pada waktu yang terdakat dari segi penglibatan dalam industri e-sukan dan gaming?

Dengan pengumuman hari ini, kami telah mendedahkan “langkah pertama” inisiatif yang fokus terhadap e-sukan pada tahun 2021 setakat ini. Salah satu daripada empat kejohanan MLBB sepanjang tahun ini merupakan hasil daripada kerjasama berterusan antara Yoodo dan Moonton. Kami teruja untuk membawakan lebih banyak perkara baharu untuk para peminat MLBB.

Kerjasama kami bersama RSG MY juga telah melancarkan dua pasukan baharu – Yoodo RSG MLBB dan Yoodo RSG CODM. Pasukan-pasukan ini telah berganding bahu untuk menjadi gabungan tenaga yang serasi agar mereka mencapai kemenangan di kejohanan. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka. 

Dari segi inisiatif e-sukan pada masa depan, kami sememangnya mempunyai beberapa kejutan untuk e-sukan dan kami akan membuat pendedahan pada waktu yang sesuai – anda akan menjadi orang pertama yang mengetahuinya!

 

MGO: Jika anda menemui seorang yang ingin menjadi atlit e-sukan profesional di Malaysia, apakah nasihat anda kepada individu ini?

E-sukan ialah kerjaya yang sah untuk gamers yang benar-benar berdedikasi. Dalam beberapa tahun yang lepas, kita dapat melihat ramai bakat-bakat e-sukan tempatan membuat kemunculan dan memenangi kejohanan kebangsaan dan serantau.  Terdapat juga pempengaruh yang telah mengumpul ramai peminat kerana menghasilkan kandungan e-sukan atau livestream dan mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.

Nasihat saya ialah untuk sentiasa bekerja keras dan berdedikasi terhadap permainan anda. Untuk berjaya, sebuah bakat masih memerlukan komitment yang berterusan dan saya percaya kita mempunyai kumpulan bakat yang besar di Malaysia. Kekal komited, kekal tekun, dan anda mesti akan berjaya.

 

MGO: Terima kasih kerana meluangkan masa bersama kami! Sebelum kita mengakhirkan sesi ini, adakah anda ingin memberi sepatah dua kata kepada para peminat yang sudah lama menyokong Yoodo?

Kami ingin berterima kasih kepada anda semua yang memberi sokongan kepada Yoodo dan kami ingin menegaskan bahawa Yoodo tetap komited terhadap usaha menyokong komuniti e-sukan. Nantikan inisiatif-inisiatif e-sukan yang lebih besar dan lebih hebat daripada kami pada tahun ini. Jika anda masih belum menyertai keluarga Yoodo, ini adalah waktu yang sempurna untuk mendaftarkan diri dan menikmati perkhidmatan yang kami tawarkan – termasuk pengalaman unik syarikat telekomunikasi kami yang berfokuskan gaming.

TAGS

BERITA BERKAITAN

2 days ago
Isu Vokey: “Jangan keterlaluan sampai melibatkan keluarga,” – Aiman Wafiy
3 days ago
PMPL: Dingoz MPX layak ke SEA Final
3 days ago
EVOS Legends mempunyai hero pool yang kecil? Ini jawapan Taxstump – Penganalisa EVOS Legends
4 days ago
Apa yang jadi Alter Ego? EVOS Legends kini di kedudukan pertama
4 days ago
PMPL: Yoodo Gank bukan lagi tempat pertama, slot SEA akan jadi milik pasukan lain
4 days ago
Bukan rezeki Team Bosskurr, Suhaz EVOS terus dominasi