Inilah Senarai Game Terbaik Yang Didedahkan Di E3 2019

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

E3 2019 telah melabuhkan tirai setelah 3 hari penuh dengan persidangan dan pameran daripada penerbit dan pembangun terkenal seperti Microsoft, EA, Bethesda, Square Enix, Ubisoft dan Nintendo tanpa Sony muncul pada tahun ini.

Acara industri game terbesar di dunia ini penuh dengan pengumuman game baru dan juga pendedahan untuk game yang paling dinanti-nantikan oleh ramai pemain dari seluruh dunia. Berikut adalah senarai game yang paling best ditonjolkan semasa E3 2019:

Watch Dogs Legion

Tarikh pelancaran: 6 Mac 2020
Platform: PC, PS4, Xbox One dan Google Stadia

Watch Dogs Legion akan beraksi di luar Amerika Syarikat yang mana pemain akan menyelusuri bandar London moden setelah kejadian Brexit. Ianya lebih besar berbanding dua game terdahulu apabila korang boleh bermain semua karakter wujud dalam game ini dengan merekrut 20 orang untuk menyertai persatuan penggodam, DedSec. Kesemua karakter ini juga mempunyai personaliti dan kebolehan tersendiri serta saling melengkapi antara satu sama lain dalam naratif game ini. Kalau korang nak rekrut sekumpulan nenek pembunuh upahan, itu pun tiada hal lah! 

Bleeding Edge

Tarikh pelancaran: belum diumumkan 
Platform: PC dan Xbox One

Sekilas pandang, ia kelihatan seperti Overwatch bertemu Devil May Cry. Bleeding Edge adalah game terbaru daripada Ninja Theory yang membangunkan game aksi berfokuskan naratif, Hellblade: Senua’s Sacrifice dan DmC: Devil May Cry. Berbanding game mereka sebelum ini, Bleeding Edge menjurus kepada permainan pertempuran secara online seramai 4 pemain dalam arena bermotifkan cyberpunk. Terdapat tiga pembahagian kelas untuk karakter dalam game ini seperti Heavy, Assassin, and Support. Korang boleh saksikan video gameplay yang dipersembahkan oleh pengarah kreatif, Rahni Tucker di sini. Bleeding Edge juga membuka tempoh Technical Alpha dan korang boleh daftar melalui pautan ini.

Deathloop

Tarikh pelancaran: belum diumumkan 
Platform: belum diumumkan

Daripada pembangun siri Dishonored, Deathloop adalah game aksi first-person terbaru daripada Arkane Lyon. Game ini mengisahkan dua pembunuh upahan terperangkap dalam gegelung masa di sebuah pulau dipanggil Blackreef yang mana selepas salah seorang dibunuh, karakter itu akan dihidupkan semula. Plot ini kelihatan seperti filem Edge of Tomorrow dibintangi Tom Cruise dan Emily Blunt. Kalau tak mati lagi, cuba lagi cara lain untuk membunuh. 

GhostWire Tokyo

Tarikh pelancaran: belum diumumkan 
Platform: belum diumumkan

GhostWire: Tokyo adalah sebuah lagi game misteri terbaru daripada pembangun siri The Evil Within, Tango Gameworks yang diumumkan semasa persidangan Bethesda. Game ini lain daripada tema survival horror diterapkan dalam The Evil Within tetapi masih lagi mengekalkan ciri aksi seram yang kuat. Trailer di atas menunjukkan seluruh populasi bandar Tokyo lesap secara tiba-tiba. Selepas itu, ada makhluk aneh pula muncul. Bak kata pengarah GhostWire: Tokyo, game ini sangat menyeramkan.

Elden Ring

Tarikh pelancaran: belum diumumkan 
Platform: belum diumumkan

Pencipta Dark Souls, Hidetaka Miyazaki tidak cukup mendera pemain dalam Dark Souls. Kali ini pula, Miyazaki bekerjasama dengan George R.R. Martin iaitu penulis buku terkenal A Song of Ice and Fire yang diadaptasikan menjadi siri TV paling popular di dunia, Game of Thrones. Walaupun trailer di atas adalah sekadar atas pagar untuk mengumumkan game baru, laporan Eurogamer mengatakan Elden Ring adalah game terbesar yang dicipta oleh FromSoftware dengan dunia lebih luas sehingga korang boleh naik kuda! Pertempuran kamera third-person seperti dilihatkan dalam Sekiro kembali dan lebih fokus kepada elemen RPG dengan drama yang disulami oleh Martin. Agak-agaknya berapa ramai karakter lagi akan mati dalam game ini pula?

Final Fantasy 7 Remake

Tarikh pelancaran: 3 Mac 2020
Platform: PS4

Penantian itu adalah satu penyeksaan tetapi bagi peminat Final Fantasy 7 Remake, mereka (mungkin) tidak lagi terseksa. Persidangan Square Enix mendedahkan video terbaru Final Fantasy 7 yang fokuskan Cloud, Aerith, Tifa dan lain-lain berada di Midgar. Untuk versi remake, cara pertempuran berevolusi mengikut aliran zaman platform baru yang lebih mengikut gaya Final Fantasy XV. Game ini memperlihatkan pertempuran aksi secara nyata (real-time) dan aksi secara taktikal melalui kaedah ATB seperti yang ditonjolkan dalam video ini. Final Fantasy 7 Remake bakal dilancarkan dalam dua cakera Bluray dan dikeluarkan secara episodik yang mana episod pertama tertumpu kepada Midgar.

Astral Chain

Tarikh pelancaran: 30 Ogos 2019
Platform: Nintendo Switch

Platinum Games bakal menampilkan game terbaru yang bakal tiba tidak lama lagi. Astral Chain adalah game beat ’em up (sama seperti Bayonetta) dan korang boleh bermain sebagai seorang polis baru yang ditugaskan untuk bekerjasama bagi menyelamatkan dunia dengan memakai senjata jelmaan manusia dipanggil sebagai Legion. Dengan menggunakan senjata Legion, korang terikat dengan pelbagai Chimera yang amat berguna dalam cara pertempuran. Terdapat juga elemen penyiasatan (sama seperti Nier:Automata) yang memerlukan kerjasama erat antara karakter lain dan juga melompat-lompat ke tempat lain menggunakan Chimera korang.

Dragon Ball Z: Kakarot

Tarikh pelancaran: 2020
Platform: PC, PS4 dan Xbox One

KAKAROT! Tentu ia terngiang-ngiang di telinga peminat Dragon Ball Z. KaBandai Namco mendedahkan game Dragon Ball terbaru yang bukan bertemakan fighting. Dragon Ball Z: Kakarot adalah game aksi RPG yang fokus kepada babak penting yang berlaku dalam perjalanan Goku (nama sebenar: Kakarot) untuk menjadi Super Saiyan. 

Marvel’s Avengers

Tarikh pelancaran: 15 Mei 2020
Platform: PC, PS4, Xbox One dan Google Stadia

Avengers… Assemble! Square Enix dan Crystal Dynamics mendedahkan Marvel’s Avengers yang mengikuti perjalanan adiwira Avengers semasa pembukaan sebuah pengkalan berinovasi di San Francisco yang bertukar haru biru apabila satu kemalangan maut yang meragut ramai nyawa lalu Avengers dibubarkan. Lima tahun kemudian, dunia memerlukan Captain America, Iron Man, Hulk, Black Widow dan Thor kembali bersatu lagi dalam penceritaan Avengers terbaru dengan permainan co-op seramai 4 pemain dengan pilihan adiwira yang berkembang dari semasa ke semasa tanpa sebarang bayaran tambahan. Pengguna PS4 boleh bermain Marvel’s Avengers lebih awal berbanding platform lain dengan pra-tempah game ini.

Final Fantasy 8 Remastered

Tarikh pelancaran: 2019
Platform: PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch

Putarkan lagu tema Eyes on Me kerana Final Fantasy 8 bakal kembali ke platform moden! Sempena ulangtahun ke-20 untuk Final Fantasy 8, Square Enix mengembalikan nostalgia bermain Final Fantasy 8 yang mengikuti perjalanan Squall Leonhart yang terpalit dengan cabaran sebagai ketua bagi mengalahkan ahli sihir dari masa depan, Ultimecia sambil disulami dengan kisah cinta antara masa bersama Rinoa Heartilly.

Cyberpunk 2077

Tarikh pelancaran: 16 April 2020
Platform: PC, PS4 dan Xbox One

Cyberpunk 2077 merupakan game yang sudah lama dinanti-nantikan oleh ramai pemain. Kali ini, game ini mencuri perhatian semua pemain apabila Keanu Reeves muncul di atas pentas Microsoft semasa E3 2019. CD Projekt RED menampilkan watak terbaru dalam game first-person aksi RPG ini iaitu Keanu Reeves sebagai Johnny Silverhand yang muncul dalam minda protagonis utama, V.

Sekuel The Legend of Zelda: Breath of The Wild

Tarikh pelancaran: belum diumumkan 
Platform: belum diumumkan

Tanpa aral melintang, Nintendo mengumumkan sekuel untuk The Legend of Zelda: Breath of The Wild tanpa ada tajuk rasmi dan cuma berkata ia masih dalam pembangunan. Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran kami selepas pengakhiran Breath of The Wild. Selepas membebaskan Hyrule daripada cengkaman Calamity Ganon, apa pula bakal terjadi kepada Link dan juga Zelda? Apa pula kuasa jahat baru yang ditonjolkan dalam trailer di atas? Mungkin kita dapat jadi Zelda ke dalam sekuel akan datang ini? Sama-sama kita tunggu.

Animal Crossing: New Horizons

Tarikh pelancaran: 20 Mac 2020
Platform: Nintendo Switch

Animal Crossing akhirnya tiba di Nintendo Switch dan game itu akan dikeluarkan pada tahun hadapan! Kali ini, Animal Crossing: New Horizons membawa pemain untuk tinggal di pulau terpencil. Berbanding dengan game Animal Crossing sebelum ini, terdapat banyak peningkatan cara permainan yang tertumpu kepada telefon Nook untuk jemput rakan korang. Korang boleh kumpul bahan-bahan dengan bercucuk tanam, menebang pokok dan memancing ikan di sekeliling pulau serta membina pelbagai alat dan perabot sendiri dengan akses pelbagai jenis resipi kraf.  

Gods & Monsters

Tarikh pelancaran: 25 Februari 2020
Platform:  PC, PS4, Xbox One, Nintendo Switch dan Google Stadia

Daripada pasukan pembangun Assassin’s Creed Odyssey, Ubisoft mendedahkan game terbaru mereka, Gods & Monsters. Game ini memfokuskan kepada penceritaan Greek purba dengan penyampaian lebih santai dengan elemen RPG ringan dan gaya seni ala Breath of The Wild. Gods & Monsters mengikuti perjalanan hero Greek bernama Phoenix bagi membantu rakyat Olympia mengalahkan Typhoon untuk menyelamatkan Isle of the Blessed.

Star Wars Jedi: Fallen Order

Tarikh pelancaran: 15 November 2019
Platform:  PC, PS4 dan Xbox One

Star Wars bakal mendapat game terbaru yang dibangunkan oleh pembangun Apex Legends, Respawn Entertainment tetapi kali ini, game Star Wars menjurus kepada The Force Unleashed dan Jedi Knight. Star Wars Jedi: Fallen Order adalah game aksi RPGyang mengikuti perjalanan seorang Jedi muda, Cal Kestis selepas kejadian Order 66 yang berlaku selepas filem Star Wars III: Revenge of The Sith. Trailer di atas menunjukkan kebolehan Cal menggunakan pelbagai kuasa Force dan gaya pertempuran lightsaber untuk menyusup masuk ke dalam pengkalan Empire bersama robot ciliknya, BD-1. Bila Cal tarik Stormtrooper untuk tembus peluru laser sendiri, itu memang gempak.

Blair Witch

Tarikh pelancaran: 30 Ogos 2019
Platform:  PC dan Xbox One

Blair Witch adalah sebuah game seram first-person yang berdasarkan filem The Blair Witch Project pada tahun 1999. Dibangunkan oleh Bloober Team (Layers of Fear dan Observer), korang menyelusuri hutan Black Hills di Burkittsville, Maryland bagi menyelamatkan seorang budak yang hilang sambil ditemani dengan anjing bernama Bullet dan kamera mudah alih. Trailer ini sudah mengeluarkan aura menyeramkan seperti Outlast dan semoga Bullet selamat tidak disentuh oleh anasir jahat.

Ghost Recon: Breakpoint

Tarikh pelancaran: 4 Oktober 2019
Platform:  PC, PS4 dan Xbox One

Pendedahan Ghost Recon: Breakpoint memberi gambaran lebih cerah tentang peranan Cole D. Walker iaitu seorang bekas ahli Ghost yang menjadi antagonis utama dalam game ini seperti yang dikatakan oleh pelakon, Jon Bernthal. Walker bukan sahaja bekas Ghost yang pemain harus berhadapan, malah Walker mengetuai skuad dibentuk daripada bekas-bekas ejen Ghost lain yang menggunakan teknologi dron untuk menguasai pulau Auroa. Korang boleh cuba main Ghost Recon: Breakpoint apabila ia bakal membuka beta bermula dari 5 September 2019

Tales of Arise

Tarikh pelancaran: 2020
Platform:  PC, PS4 dan Xbox One

Tales of Arise adalah kemasukan game terbaru dalam siri aksi JRPG, Tales dan game pertama yang bakal dibangunkan khas untuk platform moden yang mana bakal mengambil tempat di dunia tersergam indah Dahna tetapi ditakluk oleh Rena. Tales of Arise bakal menaiktarafkan sistem pertempuran mereka sambil mengekalkan ciri formula asal Linear Motion Battle System tetapi trailer di atas tidak menunjukkan ciri gameplay secara terperinci. Nampak gayanya ada beberapa protagonis baru ditonjolkan seperti lelaki bertopeng dan wanita yang menggunakan senapang magik.

Microsoft Flight Simulator

Tarikh pelancaran: 2020
Platform:  PC dan Xbox One

Kehadiran Microsoft Flight Simulator pada E3 2019 adalah satu kejutan yang tidak disangka-sangka kerana ia sudah lebih dari satu dekad setelah pelancaran Microsoft Flight Simulator X. Kini, korang boleh menikmati pemandangan indah realisitk daripada pelbagai jenis kapal terbang dalam definisi tinggi sehingga 4K yang dipacu oleh data satelit dan cloud Azure. 

Roller Champions

Tarikh pelancaran: 2020
Platform:  PC 

Roller Champions adalah game sukan diinspirasikan oleh roller derby terbaru oleh Ubisoft. Korang mungkin nampak ada persamaan antara Rocket League tetapi korang akan merebut bola dengan meluncur sekeliling arena dengan kasut luncur. Makin banyak pusingan korang lakukan, makin banyak skor korang dapat apabila korang nak baling ke gawang gol. Roller Champions percuma dimainkan dan bakal dilancarkan di PC buat masa sekarang. Kalau sempat, korang boleh cuba demo game ini sekarang.

Dalam banyak game ini, game apa yang korang paling tak sabar nak main ataupun ada game yang kami terlepas pandang? Kongsikan bersama kami di Facebook.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+